Skip to main content
Berita TempatanSarawak

PAWE Tatau Perkasa Warga Emas Kekal Aktif dan Produktif

By 26 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sophia Aren Erik/Mohammad Nazeri Arif (Tatau)

TATAU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tatau terus komited memperkasa kesejahteraan serta penglibatan golongan warga emas di daerah ini sejak penubuhannya pada 2014.

PAWE Tatau yang diuruskan Norsafarina Osman, 33, telah dirasmikan pada 18 Okt 2015 oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Kakitangan Klinik Kesihatan Tatau mengendalikan sesi senamrobik bersama warga emas di PAWE Tatau bagi mempromosikan gaya hidup sihat melalui terapi cara kerja.

Norsafarina berkata pusat itu beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 11.30 pagi dan 2 petang hingga 5 petang, manakala sepanjang Ramadan waktu operasi ialah 9 pagi hingga 11.30 pagi.

“Kami mahu warga emas di Tatau berasa dihargai serta mempunyai ruang untuk berinteraksi, mempelajari perkara baharu dan menjalani kehidupan lebih sihat serta bermakna,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Menurutnya, kira-kira 15 hingga 20 warga emas menyertai aktiviti seperti senamrobik ringan, kraftangan, permainan minda dan sesi perkongsian ilmu di situ pada setiap hari.

Tambahnya lagi, pihak Klinik Kesihatan Tatau turut mengadakan lawatan terapi cara kerja dua kali sebulan di pusat berkenaan bagi meningkatkan kesihatan fizikal dan kognitif ahli.

Norsafarina berkata keahlian terbuka kepada semua individu berumur 55 tahun ke atas yang berminat kekal aktif, sihat dan bersosial dalam komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda