
Laporan/foto: Salleh Immun/Aziq Asyraf Bolhie (Mukah)
MUKAH, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Program Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Negeri Sarawak hari ini bagi memperkukuh tahap kebersihan dan keselamatan makanan di semua bazar Ramadan di negeri ini.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib di Medan Ria Setia Raja Mukah, kelmarin.
“Bazar Ramadan menjadi platform kepada peniaga kecil dan sederhana menjana pendapatan bermusim, namun kebersihan dan keselamatan makanan perlu dipatuhi bagi melindungi kesihatan orang ramai,” ujar beliau.

Hanifah membuat isyarat Mini Love selepas menandatangani plak perasmian Program Keselamatan Makanan Bazar Ramadan di sini, kelmarin.
Beliau menegaskan pengendali makanan perlu mematuhi peraturan termasuk penyimpanan bahan mentah pada suhu sesuai, memasak makanan dengan sempurna dan menggunakan peralatan bersih serta selamat.
“Kejadian keracunan makanan boleh dicegah jika semua pihak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” kata beliau.
Program anjuran KKM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) turut mengadakan taklimat keselamatan makanan, demonstrasi pengendalian makanan yang betul dan pemeriksaan kesihatan pengendali makanan, termasuk pemeriksaan awal premis dan gerai bagi memastikan tahap kebersihan sebelum bazar beroperasi sepenuhnya.
“Pendekatan pendidikan dan advokasi diperkasa selari penguatkuasaan untuk memastikan tahap pematuhan sentiasa tinggi,” ujar beliau.
-RJ-





