
Laporan/foto: George Humprey Dolek, JAPEN Daerah Samarahan (Sarawak)
SAMARAHAN, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Aktiviti gotong-royong di Wisma Persekutuan Kota Samarahan menjadi platform memperkukuh kerjasama dan perpaduan antara jabatan serta agensi kerajaan.
Program anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan Sarawak (JPPBGPS) Bahagian Samarahan itu melibatkan 12 agensi di bawah pentadbiran berpusat.
Pengerusinya, Muhammad Asyraf Md. Nor berkata pelbagai aktiviti dirancang setiap tahun merangkumi keselamatan, kebersihan, keceriaan, sukan, sosial serta kebajikan dan keagamaan.
“Penyusunan aktiviti ini bertujuan mengimarahkan persekitaran jabatan selain membudayakan semangat kerjasama dan kekeluargaan dalam kalangan penjawat awam,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Pendekatan inter-agensi ini memberi ruang kepada warga kerja saling mengenali serta memperkukuh hubungan di luar tugasan rasmi.
“Program seumpama ini mampu menyemai semangat setia kawan dan memperkukuh integriti dalam perkhidmatan.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja memelihara imej jabatan dan agensi, malah membuka ruang perkongsian idea serta kreativiti dalam memberi sumbangan kepada organisasi,” kata salah seorang penjawat awam di Wisma Persekutuan Kota Samarahan, Dayang Effa Irdawatty Abharim.
Program gotong-royong ini mencerminkan komitmen penjawat awam Persekutuan dalam memupuk nilai kebersamaan serta memperkasa budaya kerja berpasukan.
-FN





