
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM9.93 juta telah disalurkan oleh Tabung Baitumal Sarawak (TBS) kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negeri setakat 31 Jan lepas.
Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata agihan itu dibuat melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat fitrah bersempena Ramadan kali ini.

Seorang penerima Bantuan Sara Hidup menerima beg sumbangan daripada Abang Mohd Shibli (kiri) sempena agihan Kasih Ramadan di Sri Aman.
“Tunaikan zakat fitrah melalui 21 amil bertauliah yang dilantik dan ditempatkan di masjid, surau serta beberapa lokasi strategik di Sri Aman sepanjang Ramadan,” katanya ketika berucap pada majlis agihan bantuan anjuran TBS Bahagian Sri Aman di Kompleks Islam Sarawak, di sini semalam.
Sesi tersebut disusuli majlis penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM164,534 kepada 631 penerima asnaf di sekitar daerah ini.
Gimik penyerahan bantuan disempurnakan Abang Mohd Shibli yang turut menyampaikan bantuan kepada ketua keluarga di bawah Bantuan Sarahidup TBS selain anak-anak dari Rumah Kanak-Kanak Ajibah Abol di Sri Aman.
Sementara itu, sesi Podcast Program Kasih Ramadan menjadi antara pengisian utama majlis bertujuan memberi kefahaman lebih meluas kepada masyarakat mengenai pengurusan zakat, peranan institusi baitulmal serta impak bantuan yang disalurkan kepada golongan asnaf.
Pendekatan melalui platform podcast dilihat sebagai langkah proaktif TBS dalam mendekati masyarakat dengan penyampaian maklumat yang lebih santai, interaktif dan berinformasi selari perkembangan komunikasi digital masa kini.
-RJ-





