
Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin/Siti Fazilah Derahman (Kelantan)
KOTA BHARU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 60 orang asnaf dan ibu tunggal menerima sumbangan bakul Ramadan serta zakat dalam program kebajikan anjuran Persatuan Kebajikan An’ Nisa Rahmah Kelantan yang berlangsung di Dataran Lotus, Lembah Sireh, di sini semalam.

Antara penerima sumbangan yang hadir.
Program itu bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, selain memperkukuh semangat keprihatinan serta kebersamaan dalam masyarakat.
Pengerusi persatuan, Zuniha Omar, 58, berkata usaha mengumpul sumbangan dilaksanakan secara berterusan hasil sokongan pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan asnaf dan ibu tunggal.
“Kami amat mengalu-alukan lebih ramai penyumbang tampil membantu supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni, khususnya menjelang perayaan,” katanya.

Suasana ketika program berlangsung.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Mohd Khairol Rizzuan Mohd Sapawi, 39, berkata sumbangan yang diterima amat bermakna memandangkan beliau masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan.
“Bantuan ini sangat membantu untuk keperluan harian dan persiapan Aidilfitri,” ujarnya.
-RI





