
Laporan/foto: Mohd Mahathir/Masrof Yaacob (Telupid)
TELUPID, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Biro Agama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Telupid menyerahkan sumbangan kepada 234 golongan asnaf menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi membantu meringankan beban mereka membuat persiapan perayaan, di Masjid Yusuf Al-Qardhawi, di sini pada Rabu.
Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Jhonybone J. Kurum berkata program kebajikan tersebut bukan sahaja membantu golongan memerlukan malah mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Program kebajikan ini melibatkan penyertaan 14 masjid dan enam surau dari beberapa kawasan sekitar Telupid. Usaha ini diharap dapat meringankan beban golongan asnaf yang berdepan cabaran kos sara hidup selain memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Asnaf di Masjid Yusuf Al-Qardhawi, di sini pada Rabu.
Jhonybone yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telupid berkata program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
-RJ-





