Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Hari Terbuka Perpustakaan Desa: Ruang Ilmu dan Kreativiti untuk Semua

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shafira Mat Hussin (Bachok)

BACHOK, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Perpustakaan Desa Zon Empat, Kampung Permatang Piah, menjadi tumpuan masyarakat apabila menganjurkan Program Hari Terbuka Perpustakaan Desa Bersama Komuniti yang sarat dengan pelbagai aktiviti berunsur pendidikan, kesihatan dan kreativiti untuk semua peringkat umur.

Latihan bacaan lafaz ikrar Rukun Negara bagi membentuk jati diri peserta.

Program ini menghimpunkan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pengisian seperti pameran agensi, pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah, pertandingan mewarna, tayangan jom tonton, pembelajaran origami, eksplorasi dunia perkataan, cabaran minda hebat serta latihan bacaan lafaz ikrar Rukun Negara.

Pembantu Pustakawan Mohd Zulhasdi Ghazali, 42, berkata penganjuran program berkenaan bertujuan memperkenalkan peranan perpustakaan desa sebagai pusat ilmu dan aktiviti komuniti serta menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Perpustakaan bukan sekadar tempat membaca, malahan berfungsi sebagai pusat sehenti literasi maklumat yang merangkumi pembelajaran, teknologi dan pembangunan komuniti,” katanya, di sini semalam.

Para pemenang pertandingan mewarna.

Menurutnya, kemudahan perpustakaan turut dibuka untuk pelaksanaan pelbagai program komuniti yang bermanfaat.

“Secara purata, kira-kira 30 pengunjung direkodkan setiap hari, manakala operasi perpustakaan dikendalikan oleh dua petugas tetap,” katanya.

Untuk rekod, terdapat empat perpustakaan desa di daerah Bachok iaitu di Kampung Telong Kandis, Kampung Chap Bekalam, Kampung Wakaf Zain dan Kampung Permatang Piah.

Inisiatif ini selari dengan usaha memperkasa literasi serta pembelajaran sepanjang hayat dalam komuniti setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda