
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid/Zaidi Jamin/HQE/JAPEN (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat disaran lebih peka terhadap tahap kesihatan mata dan mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami masalah penglihatan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr William Gotulis berkata masalah penglihatan dalam kalangan masyarakat semakin mencabar kerana masih ada pesakit menganggap keadaan tersebut sebagai perkara biasa.

Dr. William ketika berucap pada Program Crystal Clear: Empowering Eye Health Awareness sempena Sambutan Hari Optometri Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sabah.
“Setiap individu perlu dimaklumkan bahawa pemeriksaan dan rawatan awal amat penting sekiranya penglihatan mula kabur, rabun, mata malas (ambliopia), silau atau penglihatan berganda kerana kesihatan mata yang baik mempengaruhi keupayaan menjalani aktiviti harian serta kualiti kesihatan diri.
“Namun, ramai masih mengamalkan sikap tunggu sehingga parah sebelum mendapatkan pemeriksaan dan sikap ini perlu diubah kerana masalah penglihatan boleh dicegah melalui pemeriksaan awal serta orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Crystal Clear: Empowering Eye Health Awareness di Auditorium Bangunan Berkembar Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini pada Jumaat.
Program tersebut diadakan bersempena Sambutan Hari Optometri Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sabah.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran e-buku Tentang Mata yang merupakan inisiatif pendidikan kesihatan digital dibangunkan oleh Pegawai Optometri Kementerian Kesihatan Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dr. Wiliam semasa melancar e-buku “Tentang Mata” bersama Pengarah HQE, Dr. Abd Kahar (kanan) dan Ketua Bidang Optometri Negeri Sabah, Diana.
Tambah William pendidikan berkaitan kesihatan mata akan terus menjadi agenda berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia, JKNS dan hospital bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan berkala serta tanda awal masalah penglihatan.
“Justeru menjadi tanggungjawab warga kerja kesihatan untuk terus menggalakkan pemeriksaan mata, meningkatkan literasi penglihatan dalam komuniti dan menyampaikan mesej bahawa kesihatan mata sama pentingnya dengan kesihatan fizikal yang lain.
“Sungguhpun berdepan kekangan seperti kekurangan sumber manusia atau limitasi peralatan, anda tetap melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan kualiti,” jelasnya.

Dr. William diiringi bersama Pegawai Optometri semasa melawat tapak pameran berkaitan kesihatan mata.
-RJ-





