Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ujian Kehilangan Cahaya Mata Tidak Halang Nur Faten Wakili Sabah ke MTHQ

By 16 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Kehilangan cahaya mata ketika usia kandungan mencecah enam bulan tidak mematahkan semangat Nur Faten Izzati Rablin untuk meneruskan perjuangan mewakili Sabah ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) peringkat kebangsaan.

Berkat usahanya, anak jati Kota Marudu itu dinobatkan sebagai Johan Qariah MTHQ Negeri Sabah 2026 selepas kembali menyertai pertandingan tersebut selepas berehat selama dua tahun.

Beliau berkata dorongan ibu bapa, suami dan rakan terdekat menjadi sumber kekuatan untuk terus memperbaiki bacaan al-Quran serta menghadapi setiap cabaran.

“Tentulah ibu bapa yang mendorong saya sejak kecil dengan menghantar saya ke kelas mengaji dan kelas taranum setiap malam tanpa henti.

“Sekarang selepas berkahwin suami pula menjadi pembakar semangat selain membantu menjaga anak-anak ketika saya menjalani latihan,” katanya ketika ditemu bual dalam program iNSPO@JAPEN anjuran Jabatan Penerangan Sabah, di sini pada Khamis.

“Saya tidak pernah berputus asa menyertai MTHQ kerana niat utama saya adalah untuk memperbaiki bacaan al-Quran kerana apabila kita menyertai pertandingan, kita dinilai oleh para alim dan pakar dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata sebagai seorang guru, ibu kepada dua anak dan isteri beliau perlu mengimbangi tanggungjawab keluarga serta komitmen latihan sebagai seorang qariah.

“Kepada ibu, wanita dan anak muda di luar sana jangan sesekali berhenti berusaha untuk berjaya dalam bidang yang ingin diceburi kerana setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan apabila kita ikhlas berusaha, insya-Allah akan terbuka jalan untuk berjaya,” katanya.

Guru agama di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajjah Rahmah itu pernah mewakili Malaysia pada 2010 dan 2011 ke Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Dunia Melayu Islam serta Tilawah ASEAN di Brunei Darussalam pada 2013.

-RJ-

Tinggalkan komen anda