Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

PERKIM Pekan Anjur Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf

By 16 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)

PEKAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Daerah Pekan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama asnaf yang berlangsung di Kompleks Baitur Rahah, di sini semalam.

Mohamad Nizar ketika berucap pada majlis tersebut.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib yang meluangkan masa berbuka puasa bersama ahli PERKIM, golongan mualaf serta fakir miskin.

Mohamad Nizar dalam ucapannya, berkata program seperti ini amat penting dalam menyemai nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Bulan Ramadan adalah masa terbaik untuk kita memperkukuhkan hubungan sesama insan serta berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik.

“Usaha yang dilaksanakan oleh PERKIM Pekan ini amat murni kerana bukan sahaja menyantuni golongan asnaf malah memberi sokongan moral kepada saudara-saudara mualaf,” katanya.

Sebahagian asnaf dan mualaf yang hadir.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Pekan yang sentiasa komited melaksanakan pelbagai program kebajikan dan membantu golongan memerlukan khususnya dalam kalangan mualaf dan asnaf di daerah ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad Nizar turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dan wang tunai kepada penerima asnaf sebagai tanda keprihatinan serta sokongan terhadap usaha memperkasakan kebajikan masyarakat setempat.

Program tersebut turut dihadiri oleh ahli PERKIM, sukarelawan serta masyarakat setempat yang mengambil peluang mengeratkan silaturahim dalam suasana penuh keberkatan sempena bulan Ramadan.

-RI

Tinggalkan komen anda