Skip to main content
Berita TempatanSarawak

MDSA Tuan Rumah Earth Hour Peringkat PBT Sarawak 2026

By 24 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/UKAS

SIMANGGANG, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Program Earth Hour peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak 2026 pada 28 Mac ini.

Anthony Abell menyampaikan taklimat mengenai pemilihan MDSA sebagai tuan rumah Earth Hour 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Mini Sri Aman.

Pengerusi MDSA Anthony Abell Chendan berkata, pemilihan tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada MDSA dalam usaha membudayakan amalan hidup lestari.

Program tersebut turut menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar di peringkat global melalui penglibatan komuniti setempat secara menyeluruh.

“Kemuncak program akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada jam 8.30 malam di Stadium Mini Sri Aman.

Simbolik perasmian dilakukan dengan pemadaman lampu selama satu jam secara serentak melibatkan agensi kerajaan dan penduduk setempat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Anthony, program tersebut akan didahului dengan pelbagai aktiviti kesedaran komuniti bermula 27 Mac depan.

Antara aktiviti yang dirancang ialah bengkel pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai, pertandingan mewarna peringkat sekolah serta gotong-royong perdana.

Acara tersebut turut disiarkan secara lintas langsung di media sosial dengan sasaran penyertaan digital mencecah 250 individu daripada 28 PBT seluruh Sarawak.

“Saya menyeru seluruh warga Sri Aman untuk bersama-sama memadamkan lampu dan peralatan elektrik yang tidak penting selama satu jam bermula jam 8.30 malam.

Kita mahu Sri Aman menjadi contoh komuniti yang prihatin terhadap isu perubahan iklim melalui tanda solidariti menjaga bumi,” katanya.

Turut hadir Setiausaha MDSA Mohd Rizal Zakaria dan Ahli Majlis MDSA Joshua Fam.

Earth Hour merupakan gerakan global anjuran World Wide Fund for Nature (WWF) yang bermula di Sydney, Australia pada 2007 sebagai simbol komitmen terhadap penjagaan alam sekitar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda