Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Empat Acara Utama Meriahkan Sambutan Mantar Gawai Dayak Bahagian Sri Aman

By 31 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SIMANGGANG, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Bandar Simanggang bakal menganjurkan empat acara utama sempena sambutan Mantar Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sri Aman 2026 bermula 15 Mei hingga 25 Mei nanti.

Penganjuran tersebut bertujuan memperkasakan warisan budaya masyarakat Iban di samping menjadi platform mempromosikan identiti kaum tersebut kepada masyarakat luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Francis Harden Hollis berkata aktiviti berkenaan signifikan dalam mengetengahkan keunikan budaya tempatan menerusi platform media sosial.

Beliau menjelaskan penglibatan aktif komuniti dapat mengangkat martabat budaya ke tahap lebih tinggi serta mengukuhkan semangat kebersamaan di daerah berkenaan.

“Saya berharap aktiviti ini dapat mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di Bahagian Sri Aman,” katanya kepada MalaysiaAktif selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Sambutan Mantar Gawai Dayak yang diketuai Temenggong Leonard Libau Anol, semalam.

Antara pengisian utama sambutan ialah Perarakan Niti Daun yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mei ini bermula dari Padang Lama KPSU ke Hotel Seri Simanggang, selain Bazaar Gawai Dayak 2026 yang akan diadakan dari 15 hingga 25 Mei di pekarangan Stadium Mini Sri Aman, manakala acara kemuncak Malam Mantar Gawai Dayak bertemakan ‘Segulai Sejalai Nuju Pemansang’ pula dijadualkan pada 23 Mei di Dewan Suarah Sri Aman.

Sambutan turut diserikan dengan pertandingan Pekit Kumang dan Keling yang menjadi platform mempamerkan keindahan busana tradisional masyarakat Iban.

Pengerusi Persatuan Wanita Dayang Sarawak (SIDS) Cawangan Sri Aman Brambun Joseph memaklumkan penyertaan pertandingan tersebut dibuka kepada 10 peserta terawal dengan tarikh tutup pada 9 Mei.

-RJ-

Tinggalkan komen anda