Skip to main content
Berita TempatanSarawak

RM200,000 Peruntukan RTP Naik Taraf Gelanggang Futsal Temudok Atas

By 3 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SIMANGGANG, 3 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 bagi menaik taraf Gelanggang Futsal Kampung Temudok Atas pada tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan kualiti kemudahan sukan sedia ada agar lebih selesa dan selamat untuk kegunaan komuniti setempat.

Beliau berkata infrastruktur yang baik merupakan pemangkin kepada pembangunan bakat sukan serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan belia luar bandar.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan dalam menyokong aktiviti golongan muda agar mereka mempunyai ruang yang kondusif untuk beriadah,” katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Futsal di Kampung Temudok Atas, di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, pasukan MIASIM FT muncul juara kejohanan tersebut selepas menewaskan pencabar lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala.

Naib juara disandang oleh pasukan DATUS FT yang menerima wang tunai RM800, manakala pasukan LND FT dan OCTOPUS FT berkongsi tempat ketiga dengan hadiah RM300 setiap pasukan.

Sebanyak 15 pasukan menyertai pertandingan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rose Emma tersebut yang bertujuan mencungkil bakat baharu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda