Skip to main content
SarawakRencana & Pendapat

Tugu Pokok Getah Jadi Lambang Sejarah dan Identiti Bandar Betong

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Donny Minggu Ling (Betong)

BETONG, 20 Mei (MalaysiaAktif) — Tugu Pokok Getah yang berdiri megah di Medan Pasar Betong terus menjadi mercu tanda bersejarah yang melambangkan kegemilangan industri getah serta identiti Bandar Betong sebagai antara kawasan pengeluar utama komoditi itu di Sarawak suatu ketika dahulu.

Selain terkenal dengan sejarah kepahlawanan Panglima Rentap, Betong juga sinonim dengan industri getah yang pernah menjadi sumber ekonomi penting kepada masyarakat setempat.

Tugu berkenaan dibina pada September 1996 sebagai simbol penghargaan terhadap sejarah perkembangan industri getah di kawasan tersebut selain mencerminkan aspirasi pembangunan “Betong Baru”.

Reka bentuknya menggambarkan batang pokok getah lama yang dipangkas dengan tunas baharu tumbuh, sekali gus melambangkan semangat pembaharuan dan kemajuan berterusan daerah itu.

Menurut Ketua Kampung Baru Kaka@Kamar Lugom, pembinaan tugu tersebut menjadi simbol harapan masyarakat untuk melihat Bahagian Betong terus membangun dan setanding dengan bandar lain di Sarawak.

“Tugu ini bukan sahaja mengingatkan generasi muda tentang sejarah industri getah di Betong, malah menjadi lambang semangat masyarakat untuk terus maju dalam suasana aman dan harmoni.

“Pada bahagian asas tugu pula terdapat ukiran yang memaparkan aktiviti ekonomi tradisional masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kewujudan replika pokok getah itu turut mencerminkan perjalanan sejarah Betong yang berkembang daripada kawasan berasaskan pertanian kepada bandar yang semakin pesat membangun.

Tugu tersebut kini bukan sahaja menjadi tarikan pengunjung, malah terus mengukuhkan identiti Betong sebagai bandar yang kaya dengan nilai sejarah, warisan dan semangat pembangunan komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda