
Laporan/foto: Ainah Liman/Fred Vincent Marukau (Keningau)
KENINGAU, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Persatuan Murut Nabai memainkan peranan penting dalam usaha memelihara, memperkukuh dan memartabatkan warisan adat serta seni budaya etnik berkenaan khasnya di daerah Keningau.
Penubuhan persatuan ini menjadi wadah utama dalam memastikan identiti budaya suku kaum Murut Nabai, salah satu sub-etnik utama masyarakat Murut di Sabah, terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Timbalan Presiden I Pertubuhan Murut Nabai Sabah, Fred Vincent Marukau berkata antara fokus utama persatuan ialah usaha pemuliharaan budaya khususnya seni tarian tradisional Mansayau yang merupakan warisan turun-temurun masyarakat Murut Nabai.
“Tarian tersebut lazimnya dipersembahkan semasa majlis rasmi, sambutan perayaan, adat perkahwinan serta acara kebudayaan sebagai simbol penghormatan dan identiti komuniti di samping sebagai pusat rujukan berkaitan pakaian tradisional, adat perkahwinan, pantang larang dan sejarah lisan masyarakat Murut Nabai.
“Bagi memperkukuh usaha pemeliharaan budaya, persatuan ini juga menjalinkan kerjasama dengan badan induk seperti Persatuan Murut Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bagi mengetengahkan keunikan identiti masyarakat Murut Nabai di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurut Fred lagi masyarakat Murut Nabai merupakan antara sub-etnik utama kaum Murut yang menjadi penduduk asal dan majoriti di kawasan pedalaman Keningau.
“Dari sudut geografi, masyarakat Murut Nabai dikategorikan sebagai Murut dataran tanah rendah kerana kebanyakan penempatan mereka tertumpu di kawasan lembah dan tanah rata.
“Kehidupan tradisional masyarakat Murut Nabai pada suatu ketika dahulu banyak tertumpu kepada kehidupan secara bermasyarakat di rumah panjang, pertanian sara diri, aktiviti memburu serta pengumpulan hasil hutan sebagai sumber kehidupan utama,” jelasnya
Untuk rekod, masyarakat Murut Nabai kebanyakannya menetap di lebih 15 buah kampung sekitar daerah Keningau antaranya Kampung Tuarid Taud, Kampung Tuarid Liawan dan Tatal serta Kampung Dangulad.
-RJ-







