Skip to main content
Rencana & Pendapat

Krisis Bekalan Global Ubah Trend, Rakyat Beralih Kepada Kenderaan Elektrik

By 21 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Meriam Mohamad/Norshahira Nasir

KOTA BHARU, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Krisis bekalan global yang melibatkan kenaikan harga minyak, ketidaktentuan ekonomi serta konflik dunia kini memberi kesan langsung terhadap pilihan pengguna, sekali gus mendorong peningkatan minat terhadap kenderaan elektrik (EV) sebagai alternatif pengangkutan harian.

Peralihan kepada EV dilihat lebih menjimatkan kerana kos pengecasan elektrik yang lebih rendah berbanding penggunaan bahan api konvensional.

Kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar turut menjadi faktor utama apabila EV mampu mengurangkan pencemaran udara dan pelepasan karbon.

Pemilik Proton JM Otomobil EV Sdn. Bhd. Abdul Hakim Basri berkata peningkatan jualan EV amat ketara pada tahun ini, iaitu daripada lapan buah kenderaan sebulan kepada kira-kira 50 buah kenderaan.

Menurut beliau, tanggapan bahawa EV hanya sesuai untuk golongan berpendapatan tinggi semakin berubah apabila Proton memperkenalkan model EV buatan tempatan, sekali gus membuka peluang pemilikan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Seorang pemilik kereta EV e.MAS 5 sejak Julai 2025, Nur Humaira Mohamad Azhar, 31, berkata beliau tertarik dengan teknologi pemanduan pintar yang selamat dan mesra bajet.

“Walaupun kemudahan stesen pengecasan masih terhad di beberapa kawasan, penyediaan alat pengecasan di rumah oleh Proton banyak membantu pengguna EV,” katanya.

Beliau menambah kos perjalanan ulang-alik ke tempat kerja sebelum ini mencecah RM300 hingga RM400 sebulan, namun kini hanya sekitar RM200 bagi bil elektrik bulanan.

Walaupun berdepan cabaran tertentu, EV semakin diterima masyarakat dan dilihat sebagai pilihan pengangkutan masa depan yang lebih moden, ekonomik serta mesra alam.

-RI

Tinggalkan komen anda