Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Usaha Pemuliharaan Fort Lili Pelihara Warisan Era Brooke

By 21 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Donny Minggu Ling (Betong)

BETONG, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha pemuliharaan Fort Lili di Bandar Betong terus diperkasa bagi memastikan kubu bersejarah peninggalan era Brooke itu kekal terpelihara sebagai warisan negeri serta berpotensi menjadi tarikan pelancongan budaya yang mampu merancakkan ekonomi setempat.

Kerajaan Sarawak bersama Jabatan Muzium Sarawak kini giat melaksanakan kerja pemuliharaan terhadap kubu berusia lebih 160 tahun itu bagi memastikan nilai sejarah dan identiti budaya masyarakat tempatan terus dipertahankan untuk generasi akan datang.

Menurut Tuai Rumah Rozana Edward Nanang, 49, usaha berterusan memulihara Fort Lili mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan selain membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di Bandar Betong.

“Dengan siapnya kerja-kerja pemuliharaan Fort Lili, ia akan menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung luar untuk datang ke Betong di samping membantu merancakkan ekonomi bandar ini,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Fort Lili yang pada asalnya dikenali sebagai ‘Fort Betong’ dipercayai mula menggunakan nama Fort Lili sempena Margaret Alice ‘Lili’ de Windt, isteri kepada Charles Brooke.

Kubu tersebut dibina sekitar tahun 1855 hingga 1858 semasa pemerintahan keluarga Brooke dan pernah berfungsi sebagai pusat pertahanan serta pentadbiran ketika Sarawak berdepan penentangan daripada pahlawan Iban terhadap pemerintahan Brooke.

Dibina hampir sepenuhnya menggunakan kayu belian yang terkenal dengan ketahanan tinggi dan tahan serangga, struktur kubu itu direka bertingkat dengan ruang pertahanan bagi memantau pergerakan musuh dari jarak jauh.

Kedudukannya di kawasan tinggi berhampiran Sungai Layar dan kawasan Saribas turut menjadikan Fort Lili strategik sebagai pusat kawalan laluan perdagangan dan keselamatan pada zaman dahulu memandangkan sungai merupakan laluan utama pengangkutan ketika itu.

Pada tahun 2024, kerajaan Sarawak turut mengumumkan rancangan menjadikan Fort Lili sebagai pusat warisan budaya Iban bersama Fort Sylvia di Kapit yang akan mempamerkan artifak Iban, Pua Kumbu, kraftangan tradisional serta sejarah masyarakat Dayak menggunakan teknologi interaktif moden.

-FN

Tinggalkan komen anda