Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ally Denis, Wakili Sukau Penampilan Sulung UNK 2026

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Hamidah Len/Jawatankuasa UN Sukau(Sabah)

Kota Kinabalu, 22 Mei (MalaysiaAktif)– Daerah Kecil Sukau mencipta sejarah dengan penyertaan sulung wakilnya, Ally Denis bagi merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Peringkat Negeri, Dr Mary Gambidau berkata penyertaan Sukau menjadikan jumlah keseluruhan finalis tahun ini meningkat kepada 53 peserta yang akan bersaing pada 30 dan 31 Mei ini.

“Pertandingan tahun ini turut menampilkan beberapa pembaharuan termasuk pengenalan penilaian awal sepanjang Minggu Unduk Ngadau sebelum pentas akhir pada 31 Mei di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

“Jika sebelum ini lebih 50 peserta terus disaring kepada kelompok 15 terbaik pada malam akhir, kali ini seramai 25 peserta akan dipilih terlebih dahulu sebelum disenarai pendek kepada tujuh finalis terbaik.

“Perubahan ini bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada peserta untuk mara ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif di KDCA, hari ini.

Menurutnya kelompok 25 peserta terbaik dan tujuh finalis akan dinilai berdasarkan penampilan, keupayaan menjawab soalan serta penguasaan bahasa ibunda.

Beliau berkata, setiap wakil daerah perlu menampilkan ciri wanita Unduk Ngadau yang berpenampilan menarik, bijaksana dan memahami tradisi serta budaya etnik masing-masing.

“Salah satu tanggungjawab peserta yang mewakili daerah ialah memperkenalkan pakaian tradisi serta identiti etnik masing-masing.

“Pertandingan ini juga menjadi platform untuk masyarakat mengenali etnik yang berasal dari sesuatu kawasan,” ujarnya.

Tambah beliau, peserta yang dipilih bukan sahaja dinilai dari aspek kecantikan, tetapi turut dinilai berdasarkan kebijaksanaan serta pemahaman terhadap budaya Kadazandusun di Sabah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda