Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Intervensi BMI, SEGAK Bantu Tingkat Kesihatan Fizikal Murid Obesiti

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Raszina Kawie (Samarahan)

KOTA SAMARAHAN, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Program Intervensi BMI dan SEGAK 2026 memberi fokus utama kepada usaha meningkatkan tahap kesihatan fizikal murid khususnya dalam kalangan pelajar yang mengalami masalah obesiti.

Program yang berlangsung hari ini merupakan anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Taman Samarindah dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Merdang.

Inisiatif tersebut melibatkan seramai 20 murid Tahun 4 hingga Tahun 6 berusia antara 10 hingga 12 tahun yang dikenal pasti berada dalam kategori berat badan berlebihan.

Pegawai Perubatan Aaron Wong Wai Loong berkata pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program termasuk ceramah kesihatan, senamrobik serta pemantauan berkala berat badan peserta.

Menurut beliau program berkenaan bertujuan membantu murid mencapai tahap berat badan sihat selain mengesan lebih awal risiko penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung.

“Fokus utama program ini adalah untuk membantu murid obesiti mencapai tahap kesihatan lebih baik melalui pemantauan berat badan, pemakanan dan gaya hidup sihat secara berterusan,” katanya.

Aaron menjelaskan satu sesi taklimat khas turut diadakan melibatkan murid serta ibu bapa bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengambilan gula sejak usia muda.

Beliau menambah program pengawasan yang bermula sejak April lalu itu akan diteruskan sehingga Oktober depan bagi memantau keberkesanan intervensi yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, ibu peserta Azylina Cmnggu, 43, menzahirkan penghargaan kepada panel penasihat serta guru penyelaras kerana memberi peluang kepada anaknya menyertai program berkenaan.

“Program seumpama ini memberi banyak manfaat dan panduan terutamanya dalam menguruskan berat badan, pemakanan dan gaya hidup anak saya yang mengalami obesiti,” katanya.

Beliau berharap Program Intervensi BMI dan SEGAK dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi kemaslahatan murid serta ibu bapa secara menyeluruh.

-RJ-

Tinggalkan komen anda