Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Generasi Muda Dominasi Perarakan Niti Daun Sempena Kapit Culture Festival

By 24 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Daniel Jong/Alex Wong Jeon Yew/Budin Gumbang (Kapit)

KAPIT, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Generasi muda menjadi tumpuan utama dalam Perarakan Niti Daun sempena Kapit Culture Festival (KCF) yang berlangsung di sekitar bandar Kapit, semalam.

Ratusan peserta tampil memperagakan warisan budaya pelbagai etnik dalam suasana penuh warna-warni bagi memeriahkan festival kebudayaan tersebut.

Teriakan keramat “Oooha” bergema bersilih ganti dengan paluan instrumen tradisional engkerumong dan tawak bagi menandakan bermulanya perarakan ikonik itu.

Acara berkenaan menyaksikan penglibatan aktif golongan belia serta kanak-kanak yang tampil mengenakan pakaian tradisional pelbagai etnik dengan penuh bangga.

Peserta perarakan, Cristy Medley Racha Collin, 17, berkata peluang menyertai program sambil mengenakan pakaian tradisional memberi makna besar buat dirinya sebagai generasi muda.

“Ini adalah identiti kami dan apabila menyarung persalinan ini, ada satu rasa megah yang hadir dalam diri,” katanya.

Cristy menjelaskan beliau mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa anak muda Kapit bangga dalam mempertahankan warisan nenek moyang mereka.

Nicole Angulierra Nina Ferdrick, 23, dari Rumah Minggat Nanga Bawai pula menyifatkan program seumpama itu sebagai medium terbaik mendalami adat setempat.

“Apabila kita berjalan beramai-ramai mengikut rentak tradisi, rasa sayang pada asal-usul itu datang secara semula jadi,” katanya.

Nicole berharap program tersebut terus kekal malar segar sebagai medan untuk generasi baharu mendalami tatacara tradisi dengan betul.

Ketua Pengelola Niti Daun Martin Bilun melahirkan rasa bangga melihat komitmen luar biasa golongan muda dalam menjayakan acara berkenaan.

“Melihat anak-anak muda kita begitu menjiwai perarakan hari ini memberi isyarat jelas bahawa usaha menyuburkan akar budaya membuahkan hasil,” katanya.

Martin menegaskan golongan muda merupakan pemegang amanah penting yang memastikan warisan dan tradisi Niti Daun tidak akan padam.

Perarakan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Melayu serta Cina yang mencerminkan keharmonian komuniti berbilang kaum di Kapit.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Menteri Digital Wilson Ugak Kumbong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kandawang bersama Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda