Skip to main content
Rencana & Pendapat

Bot Penambang Seberang Takir Terus Jadi Tarikan Pelancong

By 25 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan/Abidin A. Ghani

KUALA NERUS, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Di sebalik arus pemodenan yang semakin pesat, perkhidmatan bot penambang di Pengkalan Seberang Takir masih kekal relevan sebagai pengangkutan tradisional dan tarikan pelancongan ikonik di Terengganu.

Bot penambang yang mula beroperasi sejak era 1930-an itu terus menjadi pilihan penduduk setempat serta pelancong yang ingin merasai pengalaman merentas Sungai Terengganu dalam suasana tradisional dan penuh nostalgia.

Perjalanan sejauh kira-kira 750 meter itu mengambil masa sekitar 10 minit, manakala pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman menyusuri Sungai Terengganu menaiki bot yang mampu memuatkan sehingga 10 penumpang.

Pemilik bot penambang, Saidi Mohammad, 54, berkata pengangkutan tradisional tersebut bukan sahaja menjadi sumber pendapatan kepada pengusaha bot, malah warisan pengangkutan air yang perlu terus dipelihara dan menjadi produk pelancongan negeri.

Menurutnya, puluhan bot pernah beroperasi di kawasan itu suatu ketika dahulu, namun kini hanya 10 buah bot masih aktif membawa penumpang dari Seberang Takir ke bandar Kuala Terengganu.

“Kebanyakan penumpang terdiri daripada pelancong yang mahu merasai sendiri pengalaman menaiki bot tradisional sambil menikmati panorama Sungai Terengganu,” katanya ketika ditemui di jeti bot penambang di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Temerloh, Pahang, Amir Hamzah Abdullah, 40, berkata beliau teruja apabila pertama kali berpeluang menaiki bot penambang tersebut.

“Pengalaman unik menyusuri Sungai Terengganu melihat suasana kampung dan bandar dari sungai sambil menikmati pemandangan mercu tanda terkenal seperti Pasar Payang, Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Masjid Kristal. Walaupun perjalanan singkat, ia memberi pengalaman berbeza berbanding pengangkutan biasa,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda