
Laporan/foto: Ku Nurul Sham/Zabata Ibrahim (Kubang Pasu)
KUBANG PASU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Di sebalik ketenangan suasana di kawasan Makam Tunku Anom, tersimpan kisah seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam sejarah Kedah pada abad ke-19.
Makam yang terletak di daerah Kubang Pasu itu bukan sekadar tempat persemadian, malah menjadi lambang kepada perjuangan dan kepimpinan Tunku Anom, Raja Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam yang pertama.
Tunku Anom merupakan putera kepada Tunku Abdul Rahman dan cucunda kepada Tunku Ibrahim, Raja Muda Limbong.
Ketokohan baginda mula terserlah apabila diberikan kepercayaan sebagai Ketua Penghantaran Bunga Emas ke Siam, iaitu misi diplomatik yang dilaksanakan setiap tiga tahun sekali sebagai simbol hubungan antara Kedah dan Siam pada ketika itu.
Kebijaksanaan serta kesetiaan baginda kepada Kesultanan Kedah mendapat pengiktirafan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22 yang memerintah dari tahun 1804 hingga 1845. Sebagai penghargaan, baginda dikurniakan gelaran Tunku Paduka Raja Jambangan.
Namun, sumbangan Tunku Anom tidak terhad kepada urusan diplomatik semata-mata. Ketika Kedah berada di bawah penjajahan Siam, baginda turut memimpin serangan gerila bagi menentang tentera Siam. Perjuangan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila tentera Siam berjaya dipaksa berundur dari Kedah.
Kejayaan itu membuka jalan kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang ketika itu berada dalam buangan di Melaka untuk kembali menaiki takhta pemerintahan.
Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Tunku Anom, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II telah mengurniakan wilayah Kubang Pasu yang merangkumi 24 mukim kepada baginda.
Bermula pada tahun 1841 hingga 1853, Tunku Anom memerintah sebagai Raja Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam dengan pusat pentadbiran di Pulau Pisang. Pemerintahan baginda meninggalkan kesan yang signifikan dalam sejarah daerah tersebut sehingga ke hari ini.
Kini, Makam Tunku Anom terus berdiri sebagai saksi kepada perjalanan sejarah seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negeri Kedah.
Selain menjadi tempat persemadian, makam ini turut mengingatkan generasi masa kini tentang kegigihan, kesetiaan dan pengorbanan Tunku Anom dalam mempertahankan kedaulatan negeri serta mencorakkan sejarah Kubang Pasu Darul Qiyam.
-FN







