Skip to main content
HomeSabah

Ibu Rindu Anak Berbanding Wang Ringgit

By 26 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Malina Jamarin / Foto: Duke Jaujip dan Ensui Gudul (Sabah)

KOTA KINABALU, 26 Jan (Malaysiaktif) – Kasih ibu hingga ke syurga, begitulah perumpamaan terhadap seorang ibu, Lihu, 60, dari kampung Bangkahak Nayasan, Kota Belud yang rindu akan kasih sayang anak-anak lebih daripada wang ringgit.

Kehadiran Kelab Permotoran Sukan Lasak (ROSOK) ke rumahnya memberi sinar bahagia yang lama hilang setelah anak-anaknya berhijrah ke pusat bandar meneruskan kehidupan masing-masing.

“Terima kasih kepada semua yang sudi singgah ke rumah buruk ini, seronok melihat ramai orang datang sini hilang juga rasa rindu terhadap anak-anak,” katanya kepada Malaysia Aktif yang menyertai rombongan tersebut pada Ahad.

Ujarnya lagi, kedatangan rombongan tersebut lebih berharga daripada sumbangan bantuan wang ringgit atau makanan yang diterimanya kerana menghilangkan sedikit rasa rindu terhadap anak-anaknya.

Antara aktiviti lasak kelab ROSOK.

Antara aktiviti lasak kelab ROSOK.

 

Berbeza dengan seorang lagi penerima sumbangan, Konom Singkuk, 60, dari Kampung Bangkahak Baru daerah Kota Belud menyatakan rasa terima kasih dan sempat memuji aktiviti kelab tersebut yang prihatin terhadap masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Permotoran Sukan Lasak (ROSOK), Ensui Gudul berkata aktiviti kemasyarakatan seperti kebajikan dan kesukarelaan merupakan aktiviti tahunan yang dirancang bagi memastikan semua ahli dan sukarelawan dalam kelab lebih rapat dan berbakti menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat selain dapat berkongsi minat terhadap sukan lasak ini.

“Kelab ini yang ditubuhkan pada April tahun lalu telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk aktif bergerak melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan di samping dapat berkenalan dengan ahli-ahli kelab tersebut.

Tambahnya lagi, mana-mana individu yang berminat menyertai kelab tersebut boleh mendaftar sebagai ahli dengan bayaran yuran keahlian sejumlah RM50 dan tahunan RM100 untuk ahli seumur hidup.

“Ketika ini ahli kelab terdiri daripada pelbagai latar belakang individu iaitu kakitangan awam, peniaga dan petani dan jumlah keseluruhan ahli kini telah mencecah sejumlah 120 orang.

Sebahagian aktiviti yang ditempuhi ketika menghantar bantuan barangan kepada mangsa banjir di Kg.Minisulang Sosongon Magandai, Kota Marudu.

Sebahagian aktiviti yang ditempuhi ketika menghantar bantuan barangan kepada mangsa banjir di Kg.Minisulang Sosongon Magandai, Kota Marudu.

 

“Tujuan penubuhan kelab ini antaranya mempermudah kerja-kerja kebajikan dan sukarela selain aktiviti lasak cabaran 4×4.

“Selain itu, kelab ini turut bersedia membantu sekiranya memerlukan khidmat kenderaan pacuan 4×4 iaitu khusus sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir.

“Kebanyakan kenderaan dalam kelab ini ialah Toyota Land Cruiser, Nissan, Toyota Hilux, Suzuki, Isuzu Trooper mahupun Invader yang turut mengikuti aktiviti lasak Borneo Safari di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ahli kelab, Jaspin Kain, 30, berkata mulanya menyertai kelab ini hanya sekadar mengisi masa lapang dan suka-suka sahaja tetapi setelah menganggotai kelab tersebut perasaan menjadi lebih daripada itu.

“Kami seperti satu keluarga tolong menolong apabila mendapat kesulitan sepanjang perjalanan dan kami juga berterima kasih kepada Pengerusi kumpulan ini yang merupakan seorang yang suka menolong dan mengambil berat kebajikan anggotanya” kata Jaspin.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda