
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA LUMPUR, 9 Julai 2015 (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin memperkenalkan portal rasmi kanak-kanak hilang.
Portal dibangunkan dengan usaha Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bagi membantu menangani kes kehilangan kanak-kanak di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid berkata portal ini merupakan pendekatan komunikasi interaktif bagi kerjasama di antara polis dan masyarakat secara lebih berkesan melalui perkongsian maklumat mudah dan pantas.
Bagi pihak PDRM, maklumat yang disalurkan melalui portal ini boleh diperoleh dengan cepat oleh pegawai penyiasat untuk tindakan segera.
Menurut beliau, dari 2013 sehingga Mei 2015, seramai 4,790 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 277 daripadanya masih hilang dan gagal dikesan.
“Harapan kami portal ini dapat mempertingkatkan perkhidmatan PDRM kepada masyarakat,” kata beliau dalam Majlis Pelancaran Portal Kanak-kanak Hilang di Bukit Aman.
Turut hadir pegawai-pegawai kanak PDRM, pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), wakil-wakil Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak (NUR Alert) dan NGO.
Orang ramai boleh melayari laman portal http://knk2hilang.rmp.gov.my jika mempunyai sebarang maklumat untuk dilaporkan kepada pihak polis mengenai kanak-kanak hilang.