
Laporan Oleh : Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa
SIK, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Sumbangan buah limau sempena Sambutan Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua bukannya kempen pilihan raya tetapi ia adalah tradisi dan juga bagi menceriakan lagi sambutan perayaan tersebut.
Demikian ulasan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah merangkap ADUN Belantek, Datuk Haji Mohd Tajudin Abdullah sewaktu menyampaikan sumbangan buah limau kepada masyarakat Tionghua di sekitar Pekan Sik, Selasa yang lalu.
“Sumbangan ini merupakan program tahunan setiap kali tibanya musim perayaan Tahun Baru Cina,” jelasnya lagi.
Datuk Tajudin turut berharap agar rakyat negara ini meraikan kepelbagaian kaum dan perayaan dengan rasa bersyukur serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Program ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat sekali gus mewujudkan keharmonian antara kaum dan meraikan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.
Salah seorang penerima Khaw Chin Huat, 67, melahirkan rasa gembira dengan kunjungan wakil rakyat ke rumahnya. Katanya lagi, “tanpa buah limau raya Cina tiada makna, dan seharusnya dikongsi bersama.”
– MRR