
Laporan dan foto : M. Subhi Abang & Nik Awang Yaacob (Setiu)
SETIU, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafee, mengatakan dalam memastikan sesuatu pembangunan di setiap kawasan, masyarakat haruslah bersatu.
Menurut Mohd Jidin, guru-guru dan ibu bapa perlu bersama-sama dengan pemimpin saling bersatu dan berusaha keras dalam usaha melahirkan generasi anak pintar pada masa akan datang.
“Kita semua mestilah satu tekad, satu tujuan. Dengan itu mudah bagi pemimpin menjadikan cita-cita melahirkan anak pintar suatu impian yang benar-benar realistik.

Mohd. Jidin menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang penerima dalam kalangan ibu bapa yang hadir mesyuarat.
“Masa depan yang jauh serta penuh dengan cabaran hanya akan mampu di tempuhi dengan berjaya apabila wujudnya persefahaman yang baik di antara pemimpin dan rakyat di akar umbi amnya”, ujar beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya Kali Ke-29 di Dewan Sri Putera, hari ini.
Masalah pergaulan seperti tidak sehaluan fahaman parti politik hanya akan merencatkan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan terhadap usaha memperkasakan institusi pendidikan anak-anak.
“Maka adalah wajar untuk kita memainkan peranan besar mencorakkan hala tuju masa depan generasi muda ini supaya tidak mempertaruhkan masa depan anak kita kepada fahaman sesetengah parti politik yang tidak menjurus pada kebijaksanaan memerintah,” tambahnya lagi.
Mohd. Jidin turut menyentuh akan bahayanya fitnah yang berlegar di media sosial yang sekiranya tidak di tangani secara bijak mampu memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Jadikanlah teknologi media sosial ini sebagai tempat untuk memberikan pandangan dan informasi yang berguna, jangan kita tularkan perkara yang boleh mendatangkan keadaan kucar-kacir tetapi tularkan perkara yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya.
– SH