
Laporan: Suzilawati Kamarudin (Seremban) Foto: Mohd Khairulnizam Yunus
SEREMBAN, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – “Raikan kemerdekaan ini bukan hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang, malah pelajar perlulah menggelorakan semangat patriotik ini dengan mengenang kembali perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lalu. Tiadalah juga erti merdeka jika bukan kerana titisan darah dan air mata. Oleh itu, sayangilah negara kita, Sayangi Malaysiaku”, kata Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Ampangan, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek ketika berucap dalam program Merdeka@Komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan.
Program ini diadakan sempena menyambut Hari Kebangsaan dan merupakan salah satu tempat persinggahan Konvoi Kembara Merdeka yang membawa mesej ‘Sayangi Malaysiaku’ dan ‘Kibarkan Jalur Gemilang’. Persembahan sketsa Tumpahnya Darahku turut diadakan semasa program ini.
“Harapan saya agar anak-anak pelajar belajarlah fahami erti kemerdekaan dalam ungkapan Sayangi Malaysiaku. Jauhkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat dan utamakan pelajaran demi kejayaan kamu, keluarga, bangsa, agama dan negara”, ucapan Pengetua Cemerlang SMK Seri Ampangan, Sadariah Md. Jali.
“Saya sayang negara saya kerana saya dapat pergi sekolah dan dapat kibarkan bendera dengan kawan-kawan”, kata pelajar tingkatan dua, Amira Syuhaida Azmer, 14 ketika ditemuramah.
Lebih 400 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan hari ini menyambut ketibaan 25 buah kenderaan konvoi Kembara Jalur Gemilang Peringkat Daerah Seremban 2018 yang dihiasi dengan bendera-bendera Jalur Gemilang.