
Laporan/Foto: Robani Nabi Ahmad (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 8 Mac (Malaysiaaktif)- Pusat Penerangan Islam dan Dakwah Angtarabangsa (IIDAC) dengan kerjasama Yayasan Datuk Haji Hussin, telah mengagihkan bantuan makanan kepada 120 orang fakir miskin, mualaf dan musafir. Program ini dilakukan pada hari ahad dan khamis bertempat di perkarangan Pusat Penerangan Islam dan Dakwah Angtarabangsa, Taman Hijau, Kota Bharu.
Bantuan tersebut disampaikan sendiri oleh Pengerusi Pusat Penerangan Islam dan Dakwah Angtarabangsa, Muhammed Michael Abdullah dan Pengerusi Yayasan Datuk Haji Hussin, Hassan Hussin, sejurus selesai program tazkirah pada hari ini.
Sebanyak 120 bungkus nasi beserta minuman dan roti yang diagihkan kepada 120 asnaf adalah hasil sumbangan orang ramai dan NGO yang berupa makanan dan kewangan kepada Yayasan Datuk Hussin dan IIDAC.
Program ini bermula pada tahun 2016 dengan peruntukan 50 bungkus nasi sahaja pada awalnya. Kini telah mencecah 120 bungkusan makanan yang diagihkan.
Menurut Pengerusi NGO, Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam,54 , kelab ini bertujuan membantu asnaf dan memberi bantuan berupa makanan keperluan harian tetapi hari ini, KKCK turun padang menghulurkan bantuan bersama-sama dengan Yayasan Datuk Hussin dan IIDAC.
Turut berkongsi kegembiraan ialah seorang warga emas, Hasyim Mat Ali, 65, yang berharap agar program ini diteruskan dan diperluaskan di tempat-tempat lain, bagi memastikan golongan miskin, mualaf dan musafir dapat bekalan makanan. Bantuan yang diberikan dapat meringankan beban. Terutama bagi mereka yang kesempitan hidup. Hanya ucapan terima kasih dan syukur yang dapat diungkapkan kerana prihatin dengan nasib kami, ujarnya kepada Malaysiaaktif.
-NAZ