Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pembayar Cukai Perlu Diutamakan – Amirudin

By 24 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai sebagai pelanggan utama Kerajaan Negeri.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, ianya selaras cita-cita Kerajaan Negeri memastikan perkhidmatan dan sistem penyampaian berada dalam keadaan yang baik.

“Penilaian laporan prestasi penjawat awam tidak hanya berpandukan laporan pihak pengurusan tetapi mengambil kira maklum balas daripada rakyat yang menerima perkhidmatan.

“Justeru, kerjasama serta hubungan yang baik antara PBT dengan ‘pelanggan’ utama seperti usahawan, peniaga dan lapisan masyarakat pelbagai golongan sangat diperlukan,” katanya.

Orang ramai mengambil kesempatan bergambar bersama Menteri Besar ketika hadir di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPS di Bandar Baru Selayang.

Orang ramai mengambil kesempatan bergambar bersama Menteri Besar ketika hadir di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPS di Bandar Baru Selayang.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata mulai tahun ini Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemberian bonus berdasarkan pencapaian semasa Indek Petunjuk Prestasi (KPI) dan bukan hanya berdasarkan markah seperti sebelumnya.

“Tahun ini kita akan melaksanakan pemberian bonus berdasarkan pencapaian semasa dan bukan hanya berdasarkan kiraan sebelum ini.

“Kita akan berikan ganjaran (bonus) sehingga maksimum tiga bulan gaji kepada penjawat awam kerana kita percaya melalui kaedah ini mampu memberikan motivasi kepada mereka untuk melaksanakan tugas,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di Bandar Baru Selayang, di sini hari ini.

Majlis yang dimeriahkan kehadiran lebih 2,000 orang pengunjung turut dihadiri Timbalan Yang Di-Pertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat dan Ahli-ahli Majlis MPS.

-NAZ

Tinggalkan komen anda