
Laporan/foto: Pai Syahira (Pahang)
KUANTAN, 27 Jun (Malaysiaaktif) – “Kabinet telah meluluskan cadangan untuk menaik taraf Kuantan sebagai bandar raya,” demikian kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Lampu hijau penaiktarafan tersebut disahkan kepada kerajaan negeri menerusi surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak juga telah menerima surat berkenaan,” ujar Wan Rosdy.
Sehubungan itu, kerajaaan negeri sudah bersedia membuat persiapan dan mengambil tindakan sewajarnya ke arah bandar raya Kuantan mengikut garis panduan dan syarat ditetapkan.
“Perkara ini tidak boleh terjadi dalam masa yang singkat kerana banyak perkara yang perlu dipatuhi, diikuti dan memenuhi syarat-syarat tertentu,” tambahnya.
Dalam pada itu, beberapa siri perbincangan antara Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kerajaan negeri dan Persekutuan juga perlu diselaraskan bagi mencapai matlamat tersebut.
Wan Rosdy juga melihat perubahan status bandar Kuantan bakal memberi impak positif kepada penduduk terutamanya kemudahan infrastruktur sebagai keperluan untuk menjadi sebuah bandar raya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) sekali gus merasmikan Kem Nemo di De Rhu Beach Resort.
Kem Nemo berkeluasan 5 ekar terletak di Pantai Balok, Kuantan mempunyai kolam mini dan taman hiburan yang terbesar di pantai timur sesuai dijadikan aktiviti perkhemahan serta riadah telah mula beroperasi sejak Februari lalu.
-KN