
Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
KINABATANGAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar kategori Jalan Pelancongan Luar Bandar diwujudkan bagi memudahkan kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara atau menaiktaraf jalan berkenaan.
Beliau berkata, ini penting kerana kebanyakan jalan menghubungkan pusat pelancongan yang diusahakan komuniti luar bandar tidak dapat diselenggarkan ekoran ketiadaan peruntukan khusus.
Sehubungan itu katanya, Kabinet Negeri pada mesyuarat awal tahun ini telah membuat ketetapan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pelancongan Luar Bandar bagi memantau dan melipatgandakan usaha membangunkan sektor pelancongan luar bandar secara bersepadu termasuk jalan perhubungan.
“Banyak jalan perhubungan menuju ke pusat pelancongan luar bandar yang diusahakan komuniti setempat memerlukan perhatian daripada kerajaan.
“Selama ini kita sedia maklum dengan kategori jalan iaitu jalan pertanian, jalan majlis dan jalan kampung tetapi tiada kategori jalan pelancongan luar bandar.
“Maka kita mencadangkan agar satu kategori baru yang kita namakan sebagai Jalan Pelancongan Luar Bandar diwujudkan supaya jalan-jalan yang masih memerlukan peruntukan penaiktarafan dapat dikemukakan kepada kerajan negeri atau persekutuan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat mengenai Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL Bhd) di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, jawatankuasa itu yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dan dibantu oleh beliau sendiri telah mengadakan mesyuarat pertama beberapa minggu lepas.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat itu untuk membincangkan lebih lanjut mengenai terma rujukan dan fokus utama jawatankuasa ini.
“Antara fokus utamanya ialah mewujudkan polisi kerajaan negeri berkenaan pelancongan luar bandar, isu aktiviti pelancongan luar bandar di kawasan perhutanan, pulau dan persisiran pantai serta keperluan menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat aktiviti pelancongan komuniti.
“Selain itu ia juga akan memberi tumpuan kepada perusahan atau aktiviti pelancongan yang berada dalam kawasan hutan simpan seperti di Kampung Batu Puteh Kinabatangan.
“Kalau pelancongan luar bandar boleh dilaksanakan di sini, saya tidak melihat ia tidak boleh dilaksankan di daerah lain.
“Saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai daerah termasuk di Nabawan dan Keningau yang bersempadanan dengan hutan simpan dan mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pelancongan luar bandar, cuma aktiviti itu tersekat kerana polisi tertentu,” katanya.
Oleh itu Ewon berkata, Koperasi Pelancongan Batu Puteh adalah tanda aras kejayaan pelancongan luar bandar dan sebagai tanda aras polisi kerajaan di mana ianya dibenarkan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan untuk membangunkan kawasan sekitar kampung itu untuk dijadikan punca pendapatan penduduk melalui aktiviti pelancongan.
Mengenai KOPEL Bhd, beliau kagum dengan usaha dan kejayaan yang dicapai koperasi itu.
“Ianya boleh menjadi tanda aras kejayaan kepada pelancongan luar bandar berasaskan komuniti di mana mereka berjaya meraih pendapatan RM2.4 juta pada 2018 dengan kehadiran lebih 7000 pelancong ke kampung itu.
“Selain itu, aktiviti pelancongan di kampung itu turut menyediakan pelbagai jenis pekerjaan kepada 128 orang penduduk kampung,” katanya.
Turut hadir dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan dan Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman.