
Laporan/Foto : Saufi Ab.Ghani
KOTA BHARU, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Menyahut seruan kerajaan sebagai jabatan yang bertanggungjawab menyebar luas dasar-dasar kerajaan kepada rakyat umum Program Sepakat@Komuniti dan Sambutan Setahun Malaysia Baharu 2019 Peringkat Negeri Kelantan telah diadakan pada 20 Julai 2019 di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sering, Kota Bharu.
“Tahniah kepada Jabatan Penerangan yang memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada rakyat berkaitan dasar-dasar kerajaan untuk kepentingan kesejahteraan rakyat melalui pameran jabatan dan agensi kerajaan bagi membantu rakyat khususnya rakyat berpendapatan rendah yang tujuan meringankan kos sara hidup,” ujar Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa dalam ucapan perasmian.
Husam berkata, amat rugi jika rakyat melepaskan peluang untuk mendapatkan maklumat semasa dari program ini yang dilihat amat berfaedah dan bermanfaat kepada masyarakat umum.
“Sebanyak 36 langkah disediakan untuk meringankan sara hidup rakyat antaranya Bantuan Sara Hidup (BSH), Rebat Tenaga Nasional Berhad B40, menstabilkan harga petroleum, geran sepadan RM500 untuk Sijil Pendidikan Nasional, Dana Perlindungan Nasional B40, i-Suri, i-Saraan, Dana Pembiayaan Projek Kecil dan Sederhana sebanyak RM4.5 juta dengan peratus jaminan perniagaan bumiputera dan berbagai langkah lagi untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin,” tambah Husam.
“Melalui Jabatan Penerangan dengan program sebegini kita boleh memberikan gambaran positif untuk menolak gambaran-gambaran negatif yang dilemparkan kepada kerajaan PH dan ini akan memberikan gambaran baik kepada kerajaan sekarang yang menolak rasuah serta menolak salah guna kuasa,” katanya.
Dalam sidang Media sebaik berakhirnya lawatan ke gerai-gerai pameran Husam berkata program Sepakat@Komuniti ini adalah anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia sangat baik kerana banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat kampung.
“Semasa melawat ke gerai TNB saya dapati ramai lagi pendaftaran baharu dan setakat ini seramai 25 ribu telah berdaftar untuk mendapatkan insentif rebat RM40 di kalangan golongan B40. Begitu juga i-Suri di bawah KPWK, seramai 19 ribu telah mendaftar dan mereka mendapat RM400 setahun pemberian kerajaan,” tambah beliau.
Ditanya mengenai kolaborasi bersama kerajaan negeri beliau amat berharap kerajaan negeri juga turut dijemput mengambil bahagian dalam pameran turun padang sebegini kerana menjimatkan kos dan dapat memberi maklumat terus kepada rakyat.
Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Abu Hanifah@Fauzi Zahari, Pengarah Penerangan Negeri, Lim Ann Teck turut hadir dalam majlis perasmian. Program berakhir pukul 1.00 tengah hari dihadiri hampir 1000 pengujung setempat dan sebanyak 11 gerai pameran turut melibatkan pelbagai jabatan dan agensi swasta.
-NAZ