Skip to main content
Berita UtaraTerengganu

YDSM Memperkasakan Hari Kesedaran Undang-Undang Dan Nasihat Guaman

By 28 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkifli Othman/ Mahadi Mustafa (Dungun)  

DUNGUN, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) bertekad  memberi kesedaran   undang-undang kepada masyarakat setempat khususnya kepada penduduk yang mempunyai masalah berkaitan kes-kes yang memerlukan perkhidmatan guaman.

Program yang berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun pada 26 hingga 27 Julai lalu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat daerah ini yang ingin mendapatkan penerangan yang jelas berhubung perkhidmatan yang ditawarkan oleh YDSM terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi mempertahankan hak-hak mereka sebagaimana kita ketahui setiap rakyat mempunyai hak di sisi undang-undang.

Menurut pengunjung, Mohd Rushdi Mahdi, 48,  “Program yang diadakan ini dapat membantu masyarakat kurang berkemampuan tentang bagaimana kaedah dan cara untuk menyelesaikan kes-kes yang berkaitan perbicaraan di Mahkamah. Perkara ini merupakan suatu proses yang menyulitkan bagi golongan miskin kerana bukan sahaja sukar difahami, malah ia melibatkan perbelanjaan besar dan masa yang panjang.”

Sementara itu, Nor Laila Mansur 45, berkata melalui program ini, “Kita mendapat nasihat kaunseling undang-undang secara percuma dari peguam-peguam berpengalaman yang sedia mendengar dan membantu orang ramai di mana sebelum ini ada di antara mereka tidak tahu di mana dan kepada siapa untuk mereka mengemukakan masalah yang mereka hadapi itu.”

Perkhidmatan kaunter pertanyaan oleh agensi kerajaan

Perkhidmatan kaunter pertanyaan oleh agensi kerajaan

Program ini  memberi fokus terhadap bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi memberi nasihat dan khidmat dalam aspek perundangan khususnya perundangan syariah secara percuma yang telah mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Teregganu, Jawatankuasa Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah serta jabatan-jabatan kerajaan di Daerah Dungun.

Program yang berlangsung selama dua hari telah dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti antaranya perkhidmatan kaunter pertanyaan serta penganjuran Forum Perdana  yang memfokuskan topik  “Keluarga Syurgawi” dengan menampilkan ahli panel terkemuka negara iaitu Ustaz Badlishah Alaudin dan Ustaz Zawawi Yusof. Forum ini berjaya menghimpunkan lebih 500 kehadiran penonton.

Ucapan perasmian Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Fadzli Yusof

Ucapan perasmian Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Fadzli Yusof

Majlis perasmian program ini telah berlangsung semalam dan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Datuk Mohd Fadzli Yusof.  Turut hadir pada perasmian tersebut adalah Ketua Unit Perundangan Majlis Perbandaran Dungun, Mazlifah Mohamad, Ahli jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu, Saiful Bahari Harun. Beberapa agensi kerajaan turut membuka kaunter dan gerai pameran bagi memberi info terkini kepada pengunjung.

-II-

Tinggalkan komen anda