Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Irama Lesung Kayu Gamit Kemeriahan Festival Kenyir

By 28 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Aneta Ahmad (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 28 Jul (Malaysiaaktif)

Kemeriahan Perasmian Festival Kenyir 2019 dapat dirasai oleh semua pengunjung yang hadir semalam hasil alunan irama yang tercetus daripada aktiviti mengemping melibatkan wakil dari sepuluh kampung di daerah Hulu Terengganu.
Penglibatan hampir 50 orang penduduk yang mengenakan pakaian tradisional zaman dahulu dari kampung yang berhampiran iaitu Kampung Pasir Simpul, Kampung Kuala Ping, Kampung Payang Kayu, Kampung Matang, Kampung Paloh Nyior, Kampung Tok Lawit, Kampung Nibong, Kampung Bukit Tadok, Kampung Chapu dan Kampung Pelam adalah bersempena dengan perasmian Karnival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi, Kenyir.

Aktiviti Mengemping sempena perasmian Festival Kenyir 2019

Aktiviti Mengemping sempena perasmian Festival Kenyir 2019

Emping atau mengemping mungkin tidak pernah didengari malahan jarang diketahui oleh generasi muda sekarang. Menurut Mohd Sharif Yusof, 59 dari Kampung Paloh Nyior, “Mengemping adalah proses bagi menumbuk padi muda bagi menghasilkan emping atau kepingan beras. Padi muda atau padi yang masak perlu direndam semalaman dan perlu ditoskan. Proses diteruskan dengan menggoreng padi tersebut sehingga menjadi bertih dan perlu ditumbuk semasa masih panas.”

Peserta menggoreng padi yang direndam semalaman

Peserta menggoreng padi yang direndam semalaman

“Setelah ditumbuk menggunakan lesung kayu, kepingan emping yang bercampur dengan kulit dan debu kecil hasil dari proses menumbuk tadi akan ditampi menggunakan nyiru.Sesudah ditampi dan emping kini telah siap untuk dimakan” tambahnya.
Terdapat pelbagai cara untuk menikmati keenakan emping. Antara cara yang paling mudah adalah dengan kelapa parut yang telah dicampur dengan garam dan gula. Selain itu, mereka boleh juga menyediakan kuah serawa iaitu kuah yang disediakan menggunakan santan, gula melaka, telur, gula dan garam. Namun ada juga yang gemar makan terus tanpa mencampurkan dengan bahan lain. Walaupun sering dikaitkan dengan makanan orang zaman dahulu, namun demo mengemping pada karnival kali ini menarik ramai pengunjung.

Salah satu cara untuk menikmati emping bersama kelapa atau nyior parut

Salah satu cara untuk menikmati emping bersama kelapa atau nyior parut

Seorang peserta yang terlibat dengan demo mengemping, Aminah Mamat, 54 dari Kampung Matang berkata, “Demo pada pagi ini sangat meriah kerana ada di kalangan pengunjung yang datang bertanya kepada beliau tentang emping dan ada yang mencuba menampi iaitu membuang kulit dan habuk apabila padi ditumbuk.”
“Orang muda sekarang jarang dan ada yang  tidak pernah tengok dan ada yang pertama kali melihat emping. Walaupun tidak sama dengan emping jagung yang ada di jual namun itulah makanan yang dimakan oleh orang dahulu dan perlu dikekalkan agar tidak hilang ditelan zaman” ujarnya mengakhiri perbualan.

-II-

Tinggalkan komen anda