
Laporan/foto: Aishah Omar (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan McDonald’s Malaysia bekerjasama dalam merapatkan jurang antara industri-akademia dengan menandatangi Momorandum Perjanjian (MoA), memeterai kerjasama yang menyaksikan modul-modul latihan McDonald’s Malaysia diserapkan sebagai sebahagian daripada program Sarjana Pengurusan Peniagaan (MBA) yang ditawarkan oleh Sekolah Peniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM.
Naib Cancelor UTM Profesor Datuk Ir. Dr Wahid Omar, berkata budaya UTM sangat menekankan hubungan industri yang kukuh dan secara aktif menyokong program usahasama yang relevan, berdaya saing dan inovatif.
“McDonald’s Malaysia sememangnya telah mempunyai pendekatan latihan dan pembangunan pekerja yang terperinci.
“Dalam usahasama ini, pakar-pakar UTM akan memberi nasihat untuk memantapkan program latihan dalam McDonald’s Malaysia berdasarkan program MBA UTM yang diiktiraf,” katanya, di sini semalam.
Wahid teruja untuk bekerjasama dengan syarikat tersebut dalam menjalankan usahasama menjayakan model pendidikan baharu ini.
“Bagi kami ini merupakan satu model pendidikan baharu yang mentakrifkan kerjasama akademia-industri yang bersesuai dengan perubahan landskap pendidikan tinggi.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan McDonald’s dan membuka peluang bagi kami untuk bekerjasama secara rapat di pelbagai bidang dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan McDonalds Azmir Jaafar, berkata program kerjasama ini menunjukkan kualiti program latihan McDonald’s Malaysia yang menumpukan kepada keterampilan kepimpinan, kepuasan pelanggan, kepintaran dalam perniagaan dan kemahiran insaniah yang bertujuan untuk menyediakan warga kerja McDonald’s Malaysia dengan peluang perkembangan kerjaya dan kemajuan pada setiap peringkat.
“Usahasama dengan UTM ini akan membolehkan warga kerja kami melanjutkan pengajian mereka ke peringkat MBA yang akan membantu kemajuan peribadi dan profesional mereka selaras dengan amalan kami yang sentiasa mendahulukan bakat,” ujar Azmir.
Usahama ini merupakan kerjasama rasmi pertama UTM melalui sistem pemindahan kredit dengan pemain industri utama, yang membolehkan modul terpilih daripada program latihan dalaman McDonald’s Malaysia diiktiraf sebagai kredit boleh dipindah kepada program MBA UTM.
-SH