
Laporan/foto: Robin Junang (Kuching)
KUCHING, 17 September (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Malaysia melakar sejarah baru apabila julungkali ia diadakan di dalam stadium tertutup namun persembahan dan perjalanan acara begitu memukau penonton yang hadir serta mendapat pujian dari penduduk Sarawak.
Pertukaran venue dari Padang Merdeka yang mempunyai sejarah dengan pembentukan Malaysia ke Stadium Perpaduan Sarawak akibat jerebu yang melanda Sarawak dengan indeks bacaan membahaya.
Lebih kurang 6,000 orang hadir memenuhi stadium dan juga persekitaran dataran festival bagi menyaksikan malam yang penuh gemilang dan berwarna-warni ini.
Antara tetamu utama yang hadir ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud, Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal.
Persembahan video khas, gendang Melayu, ‘shadow play’, gabungan tarian dari pelbagai suku kaum masyarakat Malaysia, penggunaan kostum dan prop tradisional, efek bunyi dan imej di paparan LED menyerikan lagi suasana sambutan.
Walaupun beberapa acara persembahan dari artis-artis terkenal dan perarakan kereta berhias tidak diadakan di lokasi sambutan namun persembahan-persembahan lain masih dikekalkan bagi memeriahkan suasana.
Acara penyerahan Jalur Gemilang kepada Tuan yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia Putrajaya, Tuan Haji Hashim Bedu bersama dengan Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Haji Abang Hashim, dan Pengarah Penerangan Malaysia Sabah, Puan Norzawiyah Bulka adalah sebahagian daripada simbolik acara rasmi.

Penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia Putrajaya, Tuan Haji Hashim Bedu bersama diiringi oleh Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon dan Pengarah Penerangan Sabah Norzawiyah
Pembawa Jalur Gemilang ini diiringi oleh Kadet Jalur Gemilang terdiri dari 14 anggota jabatan serta diiringi oleh perarakan (di luar stadium) 14 buah kenderaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang melambangkan 14 buah negeri termasuk sebuah wilayah berarak melintasi stadium.
Antara agensi yang terlibat di dalam perarakan konvoi Kembara Merdeka yang diterajui oleh Jabatan Penerangan ialah RTM, SKMM, Bernama, Finas, Pos Malaysia dan Telekom Malaysia.
Selepas tamat acara menaikkan Jalur Gemilang, Perdana Menteri turut menandatangani buku sebagai simbolik acara Sambutan Hari Malaysia 2019. Selepas itu persembahan khas mengikut era dari tahun 60an hingga zaman 2000 dipersembahankan oleh kumpulan penari.