Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Amalan turun padang dalam mendekati dan mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi secara berterusan adalah tanggungjawab utama bagi seorang wakil rakyat. Begitulah rutin yang diamalkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, 38 sejak mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada 16 Julai 2018 lalu.
Meskipun cuti hujung minggu dalam keadaan cuaca yang berjerebu, ia tidak menghalang Fahmi Fadzil bersama Jabatan Penerangan WPKL, Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai dan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Lembah Pantai untuk turun padang mendampingi masyarakat setempat sekitar Perumahan AC4, Taman Seri Sentosa, di sini Ahad lalu.
“Ini merupakan suatu kebiasaan dan rutin untuk saya turun padang berjumpa masyarakat setempat dari semasa ke semasa untuk mendapatkan perkembangan serta maklum balas untuk tindakan seterusnya. Inilah harga sebuah undi dan sebuah kesetiaan yang perlu dibalas kepada yang rakyat,” ujar Fahmi.
Seawal 9.00 pagi Fahmi Fadzil mendekati penduduk setempat yang sedang bersarapan di gerai tepi jalan sambil mengedarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut keesokannya harinya.
Kehadiran beliau disambut baik penghuni-penghuni Pangsapuri Kos Rendah AC4 yang mana majoritinya terdiri golongan B40 dan beliau turut mengambil peluang tersebut untuk bersarapan bersama-sama penduduk di kawasan tersebut.
Tinjauan Malaysiaaktif mendapati antara masalah utama selain aspek kebajikan dan kesihatan, ialah masalah penyelenggaraan bangunan yang kurang memuaskan. Bangunan Pangsapuri AC4 tersebut kelihatan tidak bersih, usang dan tidak diselenggara dalam tempoh yang lama. Sampah sarap kelihatan di merata-rata tempat, ditambah pula dengan keadaan anak tangga yang licin dan rosak.
“Badan pengurusan difahamkan tidak mampu menampung kos perbelanjaan kerana ramai yang belum melangsaikan kos tunggakan penyelenggaraan,”tegas Fahmi lagi.
“Rentetan itu, saya dan pihak Pesuruhjaya Bangunan KL sedang mencari jalan penyelesaian, tetapi ia akan mengambil masa yang agak lama kerana difahamkan Mesyuarat Agong Tahunan JMB belum dilaksanakan,” jelas Fahmi Fadzil mengenai masalah tersebut.
Beliau turut menyantuni tiga keluarga di perumahan AC4 yang hidup dalam keadaan serba daif sambil menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, garam dan tepung kepada mereka. Beliau juga akan meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga tersebut pada masa akan datang.
Bukan sekadar beramah mesra dengan orang ramai sekitar perumahan malah sikap prihatin Fahmi Fadzil yang menyantuni penduduk dari rumah ke rumah sangat dipandang tinggi oleh masyarakat setempat khususnya warga Parlimen Lembah Pantai. Ini memberi impak yang besar dimana pemimpin dan rakyat berpisah tiada.
-AO