
Laporan/foto: S.Farisah /Sh.Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Pahang dijangka menghadapi fenomena Monsun Timur Laut menyebabkan banjir bakal melanda negeri ini. Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaaan bagi persediaan menghadapi fenomena ini.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail ke negeri Pahang pada hari ini bagi meninjau persediaan Pahang menghadapi keadaan tersebut dilihat sebagai keprihatinan beliau berhubung fenomena berkenaan. Terdahulu beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat setempat di Kampung Gudang Rasau serta mengambil tahu permasalahan yang dihadapi masyarakat di situ.
Beliau kemudiannya mengadakan lawatan ke Tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Belat serta diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang, Ir. Mohd Noor bin Bidin berkenaan projek tersebut.
Menurut Mohd Noor, objektif projek ini adalah untuk memberi perlindungan kepada penduduk-penduduk di kawasan perumahan sekitar kawasan Paya Besar seperti Taman Guru, Perkampungan Sg. Isap, Kg. Permatang Badak dan Kg. Bukit Rangin daripada limpahan air banjir Sg. Kuantan, Sg. Belat dan Sg. Pandan semasa musim tengkujuh. Di samping itu, ia juga dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 350,000 penduduk dengan keluasan kawasan perlindungan banjir seluas 20,000 hektar.
Dato’ Seri Wan Azizah turut melawat ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana, di Kompleks Penyayang di mana keperluan barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir ditempatkan di situ, selain mendengar taklimat yng disampaikan oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Pahang, Zainal bin Yusof dan juga Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.
Pada penghujung program, sesi soal jawab bersama media turut diadakan bagi memberi ruang kepada pihak media mendapatkan penjelasan serta beramah mesra bersama beliau. Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah binti Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Sri Norol Azali bin Sulaiman.
-KN