Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

Radio Punya Potensi Terus Berkembang, Kekal Relevan – Eddin Syazlee

By 14 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook YB Eddin Syazlee Shith

PUTRAJAYA 14 Feb (Malaysiaaktif) – Radio mempunyai potensi untuk terus berkembang dan kekal relevan sebagai sebuah medium penyiaran, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith.

Walaupun kini dunia penyiaran berganjak ke era digital, katanya radio masih kekal menjadi medium mudah diterima ramai, selain paling pantas dalam menyebarkan maklumat berbanding medium lain.

“Sudah tentu hari ini kita dapat lihat perkembangannya, ia bukan sahaja bertindak sebagai saluran menyebarkan maklumat dan hiburan tetapi hari ini radio mempunyai kepelbagaian program.

“Radio juga ada Facebook radio penstriman langsung (live streaming), ini juga menonjolkan radio itu dari semasa ke semasa semakin mempunyai kelainan daripada mula-mula diperkenalkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Radio Sedunia dengan tema ‘Radio dan Kepelbagaian’, semalam .

Sambutan setiap 13 Feb yang dianjurkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad.

Terdahulu dalam ucapannya, Eddin Syazlee berkata tidak dinafikan landskap radio sendiri sedang berubah dan dalam hal ini, penyiar radio perlu bertindak selaras demi memastikan populariti medium berkenaan tidak terjejas.

Beliau berkata setakat ini jumlah pendengar radio negara dianggap tinggi kerana berdasarkan kajian Growth for Knowledge Malaysia menerusi Radio Audience Measurement tahun lepas, jumlah keseluruhan mencecah 20.6 juta pendengar setiap minggu.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda