
PUTRAJAYA, 14 Feb (Malaysiaaktif)– Kerajaan akan memastikan projek pembangunan yang telah diluluskan bagi 2020 serta inisiatif baharu di bawah pakej rangsangan ekonomi yang akan diperkenalkan pada akhir Februari ini, dapat dilaksanakan segera, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata pakej rangsangan ekonomi juga sedang diperincikan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.
Pakej rangsangan ekonomi tersebut adalah untuk mengurangkan impak penularan COVID -19 yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan global.
“Antara sektor yang akan terjejas adalah industri berkaitan pelancongan, pengangkutan dan pembuatan. Bagi mengurangkan kesan negatif tersebut, kerajaan sedang mengambil langkah proaktif yang boleh mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dalam negeri di samping terus menggalakkan eksport terutamanya produk berkaitan penjagaan kesihatan, elektrik dan elektronik dan keluaran berasaskan kelapa sawit, ” katanya.
Selain itu, langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar tol dan memastikan harga petrol yang stabil akan membantu meringankan beban sara hidup rakyat di samping memperkukuhkan pelancongan domestik.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh di samping menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” kata Mohamed Azmin.
Mengulas mengenai prestasi ekonomi negara pada 2019, beliau berkata ia adalah lebih baik berbanding beberapa negara serantau yang mencatat perkembangan lebih rendah.
Ekonomi Malaysia menyederhana pada kadar 3.6 peratus pada suku keempat 2019 manakala pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan 2019 adalah 4.3 peratus.
“Trend ini juga dilihat sejajar dengan pertumbuhan negara-negara Asia yang lain. Prestasi ekonomi yang menyederhana ini secara keseluruhannya adalah berikutan prestasi ekonomi dunia yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan sejajar dengan kelemahan dalam aktiviti perdagangan global,” kata beliau.
Pertumbuhan pada suku keempat 2019 disokong oleh aktiviti permintaan dalam negeri yang terus menggalakkan, terutamanya penggunaan swasta yang berkembang 8.1 peratus berbanding 7.0 peratus pada suku ketiga 2019.
“Pelaburan swasta turut mencatat pertumbuhan yang lebih baik, iaitu 4.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada suku sebelumnya. Dari sudut pengeluaran, pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan,” katanya.
Mohamed Azmin berkata penyederhanaan pertumbuhan kali ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan sektor pertanian kerana faktor ketidaktentuan cuaca dan pengurangan penggunaan baja pada awal tahun yang telah memberi kesan kepada pengeluaran kelapa sawit.
“Sektor perlombongan juga mencatatkan penguncupan, namun pada kadar yang lebih baik berikutan pemulihan pengeluaran di beberapa loji yang telah ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual pada suku sebelum ini,” kata beliau.
Kedudukan rizab antarabangsa masih kukuh sebanyak RM424.1 bilion atau US$103.6 bilion yang mencukupi untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh.
Pelaburan langsung asing juga turut mencatatkan aliran masuk bersih yang berterusan sebanyak RM32.8 bilion (2018: RM32.6 bilion).
– BERNAMA