Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Operasi Gerakan Bersepadu Pastikan Masyarakat Turut Perintah

By 20 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan / Foto : Ramasamy Amas / Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)

JEMPOL, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Empat agensi penting kerajaan telah mengadakan operasi gerakan bersepadu bagi memastikan rakyat mematuhi arahan kerajaan yang mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

Perintah tersebut dilaksanakan bertujuan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (COVID-19) yang semakin meningkat dan setakat hari ini telah mencatat 900 kes.

Operasi tersebut diadakan semalam di sekitar kawasan tumpuan dan telah melibatkan  Pejabat Penerangan Daerah Jempol, Majlis Perbandaraan Jempol, Polis DiRaja Malaysia Daerah Jempol (PDRM) serta Pejabat Kesihatan Daerah Jempol.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Jempol, Siti Noorezrin Mahmod, penglibatan empat agensi ini untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang Perintah Kawalan Pergerakan serta memastikan rakyat mematuhi arahan kerajaan.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, Raja Norazli Raja Nordin, yang turut sama dalam operasi tersebut berkata pihaknya memandang serius perintah kerajaan tersebut.

“Sebelum operasi ini diadakan kami telah terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan apa yang boleh dan tidak boleh beroperasi, jadi, tinjauan hari ini kita ingin melihat kepatuhan peniaga dan juga respon orang ramai terhadap arahan tersebut.” Katanya.

Dalam operasi tersebut, penguatkuasa terlibat telah meninjau dan menampal notis arahan perintah kawalan pergerakan di setiap premis yang dilawati dan mengadakan pemeriksan serta khidmat nasihat di setiap restoran atau kedai makan bagi memastikan tiada pelanggan yang duduk dan makan di premis di sekitar sini.

Operasi tersebut juga meliputi beberapa kawasan antaranya Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol, Felda Lui Selatan, Pasaraya TESCO, Bandar Bahau, Taman Meranti, Taman ACBE dan Pusat Perniagaan Kiara.

-AK

Tinggalkan komen anda