
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah memeriksa 769 premis perniagaan sepanjang tiga hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Yang Dipertua, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata pihaknya mendapati orang ramai masih berdegil dan mementingkan diri dengan menjalankan perniagaan mereka.
“MPS telah melakukan pemeriksaan ke atas lebih 769 premis serta penjaja di seluruh kawasan pentadbiran MPS dan mengeluarkan sebanyak 59 arahan notis tutup, 178 amaran lisan.
“Semua penjaja tepi jalan tanpa premis kekal juga turut diberi amaran serta diminta untuk menghentikan perniagaan mereka selaras dengan arahan Menteri Besar Selangor yang dikeluarkan pada 19 Mac 2020,” katanya.

MPS melakukan pemeriksaan terhadap 769 premis premis serta penjaja dan mengeluarkan 59 notis tutup, 178 amaran lisan sejak tiga hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Katanya, beliau bersama MPS dalam operasi pemantauan juga melawat beberapa kawasan rekreasi awam seperti kolam air panas Selayang dan mendapati masih terdapat orang awam yang mengunjunginya.
“Untuk makluman, semua kawasan awam, taman-taman, kawasan rekreasi dan sebagainya adalah ditutup kepada orang awam.

MPS menyita kawasan kolam air panas Selayang agar tidak mengunjungi kawasan awam tersebut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
“MPS sekali lagi ingin menyeru kepada orang ramai agar mematuhi arahan kerajaan agar berada di rumah dan hanya keluar untuk urusan penting sahaja sepanjang tempoh ini.
“Kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan boleh diambil tindakan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan PKP di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac bagi mengekang penularan COVID-19.
Bermula Ahad ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula dikerahkan untuk membantu polis dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.
-NAZ