Skip to main content
Berita TimurTerengganu

COVID-19: Kepatuhan Terhadap PKP Membuahkan Hasil, Marang diisytihar “Zon Hijau”

By 22 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Afnan Hakimi Ab Aziz (Marang)

MARANG, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Keadaan COVID-19 di Daerah Marang telah mencatatkan perkembangan baik apabila dua kes positif di Mukim Bukit Payung dan Mukim Pulau Kerengga dilaporkan sembuh dan dibenarkan discaj dari hospital.

Ini menjadikan tiada lagi kes aktif di Daerah Marang dalam tempoh 14 hari, sekaligus Marang diisytiharkan sebagai Zon Hijau selepas Daerah Hulu Terengganu.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak kira-kira pukul 1.00 tengah hari kelmarin.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, pengumuman ini menggembirakan semua warga Marang dalam suasana untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak tidak lama lagi.

“Kepatuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan terutamanya di Daerah Marang membuahkan hasil apabila dua kes positif sahaja yang dilaporkan serta tiada pertambahan kes baharu di daerah ini.

Penjarakan sosial sejauh 1 meter di Pekan Bukit Payong.

Penjarakan sosial sejauh 1 meter di Pekan Bukit Payong.

“Semangat para petugas barisan hadapan juga semakin meningkat untuk terus berjuang memerangi wabak ini hingga ke penghabisan setelah Marang diisytiharkan sebagi Zon Hijau,” katanya.

Menurut Tun Ahmad, peperangan memerangi COVID-19 masih belum selesai dan PKP tidak akan dilonggarkan sehingga seluruh negeri dikategorikan sebagai Zon Hijau.

Penjarakan sosial di Pasar Bandar Marang yang dikawal oleh Penguatkuasa Majlis Daerah Marang

Penjarakan sosial di Pasar Bandar Marang yang dikawal oleh Penguatkuasa Majlis Daerah Marang

“Malah, kawalan pergerakan akan diperketatkan lagi dengan bantuan pihak keselamatan terutamanya PDRM dan ATM serta RELA bagi mengelakkan pergerakan bebas keluar masuk di Daerah Marang supaya rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan.

“Semoga kejayaan Daerah Marang berada di dalam Zon Hijau ini tidak melalaikan semua, bahkan ianya memberi kesedaran yang lebih tinggi kepada masyarakat,” katanya lagi.

Suasana jalan utama yang lengang di Bandar Marang.

Suasana jalan utama yang lengang di Bandar Marang.

Beliau turut berharap agar semua lapisan masyarakat memberi kerjasama bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa dan penjarakan sosial haruslah dititikberatkan apabila berada di tempat awam seperti di pasaraya dan pasar awam.

-ii-

Tinggalkan komen anda