
Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19, namun ianya tidak memberi kesan kepada pengusaha ketupat daun palas yang masih menerima tempahan seperti sebelum ini.
Pengusaha, Mat Yusuf Abdullah, 58, dari Kampung Sekati, dekat sini berkata beliau tidak menjangka dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, beliau masih menerima tempahan dalam jumlah yang banyak.
Beliau yang dibantu isterinya, Salina Muhammad, 50, sehingga kini telah menerima tempahan lebih daripada 4,000 ketupat palas sempena Aidilfitri nanti.
Katanya, bagi tempahan untuk Aidilfitri, beliau dan isteri akan membuat ketupat itu seminggu sebelum perayaan dan ketupat yang telah siap akan disimpan di dalam peti sejuk beku.
Mat Yusuf berkata, beliau turut membuat ketupat daun palas sepanjang Ramadan ini dan dijual kepada orang ramai di hadapan rumahnya.
Menurutnya, beliau mula menjual ketupat itu seminggu selepas Ramadan baru-baru ini dan beliau mampu menjual kira-kira 400 biji hingga 500 biji setiap hari.
Ketupat daun palas itu dijual dengan harga RM1. 00 untuk dua biji pada bulan Ramadan, manakala harga untuk tempahan Aidilfitri ialah 80 sen sebiji.
Katanya, harga untuk tempahan Hari Raya terpaksa dinaikkan kerana kos bahan mentah seperti beras pulut, santan dan daun palas meningkat.
Isteri beliau, Salina berkata, beliau telah membuat ketupat daun palas sejak 23 tahun lalu dan ini adalah pendapatan tambahan bagi keluarga.
Salina yang bertugas sebagai pembantu kebersihan di Majlis Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak dekat sini terpaksa membahagikan tugasnya dengan bijak bagi memastikan kedua-dua sumber pendapatan keluarga tidak terjejas.

Salina (kanan) dibantu anaknya, Yusnadirah membungkus ketupat daun palas untuk dijual kepada orang ramai di Kampung Sekati, Kuala Terengganu.
Beliau berkata, persiapan awal untuk membuat ketupat seperti mengupas kelapa, memerah santan, menyediakan daun palas dan membasuh beras dilakukan oleh suaminya, manakala pada waktu rehat tengahari, beliau akan pulang ke rumah untuk mengukus beras pulut dan akan membungkus ketupat setelah pulang bertugas.
Salina dan Mat Yusuf mempunyai seorang anak perempuan, Yusnadirah yang berusia 7 tahun dan anak mereka sering membantu menyiapkan tempahan ketupat itu.
-ii-