
Laporan/foto: Mohd Fadli Muhd Yusof (Kemaman)
KEMAMAN, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada 4 Mei lalu tidak diambil mudah oleh penduduk kampung di sekitar daerah ini.
Rata-rata penduduk yang ditemui akur dan patuh pada setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.
Bagi Wan Musmizawati Wan Zulrahani, 34 dari Kampung Air Putih Kemaman, dia sentiasa menjaga kebersihan diri serta persekitaran rumahnya setiap masa selain dari tidak akan keluar rumah tanpa sebarang urusan penting kerana gusar dengan penularan COVID-19.
“Satu kes terbaharu di daerah Kemaman pada 20 Mei lalu benar-benar mengejutkan saya kerana hampir sebulan tiada kes di negeri ini. Saya risau untuk keluar dari rumah dan tidak akan keluar kecuali apabila perlu sahaja,” katanya.
Syahzana Abdullah, 31 pula memberitahu, walaupun dia tinggal di kampung yang agak jauh dari bandar tetapi dia tetap menitikberatkan aspek keselamatan diri.
“Saya tidak akan sesekali pergi ke tempat yang ramai orang kerana bimbang sekiranya ada pembawa COVID-19 yang tidak bergejala dan menyebarkan virus tersebut kepada orang lain.”
Tambah beliau, sebagai ibu tunggal yang mempunyai dua anak, dia patuh dengan setiap arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana enggan berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada dirinya menyebabkan anaknya tiada penjaga.
-ii-