
PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan dua insentif tambahan bagi membantu usahawan Bumiputera yang terkesan akibat pandemik COVID-19, kata Pengerusinya Datuk Azizah Mohd Dun.
BeliauĀ berkata insentif tambahan itu membabitkanĀ Skim Pembiayaan Kemudahan Pengukuhan Perniagaan Majlis Amanah Rakyat (SPAK) dan pemberian pengecualian sewa premis perniagaan bagi tempoh dua bulan.
Menurut Azizah, sebelum ini MARA telahpun mengumumkan moratorium bagi pembiayaan perniagaan selama enam bulan dan diskaun 30 peratus sewaan premis bagi tempoh sama dengan tetapan beberapa syarat, yang telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 usahawan agensi itu.
āHasil Kajian Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas usahawan MARA yang dilaksanakan membabitkan 2,436 responden mendapati wujud keperluan mendesak.
āJusteru itu, kita merasakan perlunya menambah insentif baharu ini bagi memastikan usahawan terus kekal bertahan dan mampu meneruskan perusahaan masing-masing,ā katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azizah berkata insentif tambahan itu adalah untuk menyediakan pembiayaan perniagaan mudah dan cepat disamping memberi jaminan khusus bagi membantu usahawan mikro memulihkan perusahaan mereka yang terjejas teruk.
āMARAĀ memperuntukkan RM6 juta di bawah skim ini dan ia pasti mampu dimanfaatkan oleh lebih 600 usahawan.
āSkim ini berkonsepkan Qardhul Hasan dan tidak mengenakan sebarang kadar keuntungan, selain akan diproses dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan usahawan sekali gus menyokong aliran tunai syarikat,ā jelasnya.
Dalam pada itu, Azizah berkata, pemohon tidak perlu menyediakan sebarang jaminan atau cagaran dan pemohon hanya perlu menyediakan penyokong dalam kalangan keluarga terdekat.
Usahawan yang berminat boleh memohon secara dalam talian melalui pautanĀ www.mara.gov.my/MyusahawanĀ dan prosesĀ kelulusan akan mengambil masa selewat-lewatnya 14 hari daripada tarikh permohonan lengkap diterima, katanya.
Beliau berkata MARA kini mempunyai 7,261 lot premis perniagaan seluruh negara meliputi lot komersial (1,607 lot), arked (3,334 lot), bazar (1,892 lot) dan kawasan industri (428 lot).
āPengecualian pembayaran sewa bagi April dan Mei yang kita berikan ini dianggarkan berjumlah RM10 juta termasuk insentif diskaun sewa diumumkan terdahulu.
āMARA akan sentiasa berusaha membantu usahawan Bumiputera untuk terus bersaing seiring pertumbuhan ekonomi semasa,ā katanya.
— BERNAMA