
Laporan/foto: Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)/JPIN Jempol
JEMPOL, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPIN) melalui Pejabat Perpaduan Daerah menganjurkan program Sesi Maklum Balas Rakyat Terhadap Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 di sini, semalam.
Timbalan Pengarah Perpaduan Negeri Sembilan, Mohd Ferdaus Sulaiman, berkata Malaysia merupakan antara negara di dunia yang mempunyai masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum namun berjaya dalam memelihara keamanan, kesejahteraan serta perpaduan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan negara dalam landasan yang betul dan tepat untuk terus membangun dengan maju melalui perpaduan rakyat yang erat mengikut norma yang baharu sesuai dengan perkembangan pada masa kini,” ujar beliau ketika berucap.
Tambah Ferdaus, melalui pelaksanaan sesi maklum balas tersebut, suara rakyat akan dapat integrasikan di mana semua maklum balas yang diterima akan digabungkan dan dianalisa bagi menyempurnakan PTPN yang telah dirangkakan.
Sementara itu, Mohd Zamree Parlan salah seorang peserta program tersebut berpendapat, usaha yang dilaksanakan oleh JPIN ini adalah amat baik kerana untuk membentuk perpaduan bukanlah merupakan satu tugas yang mudah dan boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat.
“Tanpa strategi yang mantap, komitmen yang tinggi, serta penglibatan yang menyeluruh daripada semua pihak, pembangunan dan kemajuan negara melalui keutuhan perpaduan rakyatnya hanya akan kekal sebagai satu matlamat sahaja,” ujar beliau.
Sesi maklum balas rakyat itu dilaksanakan dengan dua kaedah iaitu secara manual melalui pengisian kertas maklum balas dan juga melalui imbasan kod QR yang disediakan.
Penganjuran sesi itu juga yang melibatkan interaksi dan penglibatan rakyat pelbagai kaum adalah sangat penting bagi memastikan hubungan rentas etnik yang baik berlaku melalui medium interaksi yang berterusan.
-AK