
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 500 kit makanan dan keperluan harian berjaya dikumpul oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, Kuala Nerus dalam membantu mangsa banjir di Negeri Pahang ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh Hishamuddin Abdul Karim, berkata dana untuk membantu mangsa banjir khususnya di pantai timur dijalankan dengan pantas dan beliau bersyukur kerana masyarakat sekitar khususnya di daerah ini saling menghulurkan bantuan meskipun mempunyai fahaman politik yang berbeza.
“Ketika dimaklumkan bahawa di Pahang telah mula dinaiki air di beberapa tempat, Unit Amal telah melancarkan kempen bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim sedang menyusun barang-barang keperluan makanan untuk dibawa ke Pahang.
“Hasil dana yang terkumpul, pihak kami telah membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak, air mineral, roti dan sebagainya.
“Bukan itu sahaja, barangan keperluan harian lain seperti selimut dan toto bagi keperluan mangsa banjir di sana turut disediakan,” katanya ketika ditemui di majlis pelepasan konvoi bantuan mangsa banjir, di sini semalam.
Menurut Jusoh Darus, bantuan kilat ini memperlihatkan kesatuan ummah iaitu kerjasama yang utuh di kalangan masyarakat khususnya di Daerah Kuala Nerus.

Anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM), Daerah Kuala Nerus, Muhammad Aqil Abidin, 25 (kanan) gembira dapat menyumbang bakti tenaga dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang.
“Ini berikutan seluruh Pejabat DUN di daerah berganding bahu mengumpul dana dan membeli barangan keperluan asas makanan dan harian untuk dihantar segera kepada mangsa banjir.
“Setiap DUN di Daerah Kuala Nerus seperti DUN Bukit Tunggal, DUN Seberang Takir, DUN Tepuh dan DUN Buluh Gading berganding bahu menyumbangkan sumbangan masing-masing dan keseluruhan barangan berkenaan dihantar menggunakan 28 buah kenderaan pacuan empat roda, tiga buah van dan sebuah lori,” katanya.
Katanya lagi, barangan berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan bilik gerakan operasi banjir sebelum diagihkan kepada semua mangsa banjir mengikut jumlah isi rumah yang telah ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim bersama pasukan khidmat PAS dan JAM menyusun barang-barang keperluan makanan ke dalam pacuan empat roda untuk dibawa ke Pahang.
Anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM), Daerah Kuala Nerus, Muhammad Aqil Abidin, 25, berkata Anggota JAM dari negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak ditugaskan untuk berkhidmat di Pahang.
“Seramai 38 orang dari Unit Amal dari Daerah Kuala Nerus datang bagi membantu mangsa banjir dengan mengagihkan bekalan makanan di PPS dan bilik gerakan operasi.
“Bukan itu sahaja, sebaik sahaja banjir surut, Unit Amal ini akan membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah mereka yang kotor kerana air bah,” katanya.
-ii-