
Laporan/foto: Zamrud Laili Mohd Mustap/Nurul Ain Kamil ( Timur Laut )
GEORGETOWN, 1 Mac ( Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow antara 12 individu pertama yang menerima suntikan Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, di sini.
Beliau menerima suntikan daripada Penyelia Jururawat HPP, Matron Hafizah Hamzah sekali gus sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pulau Pinang yang bermula semalam.
Mengulas mengenai pengalaman menerima suntikan tersebut, Kon Yeow memberitahu beliau tidak gementar, malah semua proses berjalan dengan lancar.
“Suntikan yang diterima menunjukkan keyakinan kerajaan negeri terhadap Vaksin COVID-19 dan pelancaran ini dapat meyakinkan rakyat bahawa vaksin adalah satu cara untuk membantu menangani COVID-19.

Penyelia Jururawat HPP, Matron Hafizah Hamzah memberi suntikan Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech kepada Chow Kon Yeow.
“Meskipun vaksin telah diterima, segala usaha kesihatan awam perlu diteruskan dan rakyat perlu patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada Malaysia Aktif ketika ditemui di Pusat Suntikan Vaksin Hospital Pulau Pinang.
Proses vaksinasi itu turut disusuli Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy.
Selain mereka, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Razak Jaafar, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. Asmayani Khalib dan Ketua Polis Negeri Datuk Sahabudin Abd. Manan turut menerima suntikan vaksin pada sesi sama.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melibatkan tiga fasa dan bagi fasa pertama ini, Pulau Pinang menerima sebanyak 62 ribu dos yang diperuntukkan kepada 31 ribu petugas barisan hadapan.

Chow Kon Yeow bersama 11 lagi individu yang turut menerima Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Pusat Suntikan Vaksin Hospital Pulau Pinang.
Kon Yeow juga turut menyeru semua penduduk Pulau Pinang untuk mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera.
Beliau turut melahirkan rasa bersyukur kerana vaksin telah diterima dalam tempoh lebih setahun Malaysia menghadapi pandemik COVID-19 dan berharap dengan adanya vaksin ini negara dapat mencapai tahap pemulihan.
-ii-