Laporan/foto : Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 26 Februari lalu.
Ahmad Samsuri, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Vaksin COVID-19 telah pun tiba pada 25 Februari 2021 di negeri ini, dan beliau sendiri telah menerima suntikan vaksin sebagai tanda menyambut baik saranan kerajaan untuk mencegah jangkitan COVID-19 melalui vaksinasi.
“Oleh itu, janganlah kita mengambil mudah tentang perkara ini dan janganlah berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin,” katanya.
Ahmad Samsuri turut berkongsi pengalaman tidak berasa sakit apabila disuntik vaksin tersebut dan memaklumkan seperti terkena gigitan semut sahaja.
Manakala Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan bahawa bilangan dos yang diterima Terengganu adalah sebanyak 16,380 dos yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai di Terengganu sebelum diagihkan kepada 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Program menyeluruh adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya menamatkan pandemik COVID-19.
“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” kata Dr Nor Azimi.
Turut menerima suntikan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Dr. Alias Razak.
Manakala turut hadir bagi program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zahari Md Azahar dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr. Nor Azimi Yunus.
-ii-